Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: IMedikel kini menjadi pengilang bagi produk berasaskan makanan dan kosmetik di bawah jenama Ethio Malaya untuk dipasarkan ke pasaran antarabangsa khususnya Ethiopia.
Pengurus Pembangunan Produk IMedikel, Nur Maisara Mat Sudin berkata, kerjasama strategik bersama syarikat dari Ethiopia, Etmal Consult PLC itu merupakan julung kali diadakan dan membuka peluang baharu kepada pengeluaran produk tempatan ke pasaran global.

Menurutnya, bagi produk makanan, ia berasaskan biji kopi dan madu mentah yang dibawa oleh pihak Etmal Consult PLC bagi proses pengeluaran sampel produk di kilang IMedikel.
“IMedikel akan bertindak sebagai pengilang untuk menghasilkan 30 produk kopi, 10 produk madu, 24 produk kosmetik serta beberapa produk makanan dan rempah lain di bawah jenama Ethiopia,” katanya ketika ditemui di Wisma IMedikel, di sini, hari ini.
Hadir sama Presiden IMedikel, Yusmat Mamat, Ketua Pegawai Kewangan, Shahrul Azlan Mahmood, Ahli Farmasi, Faiz Syahiran Mohamad serta Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Etmal Consult PLC, Sunil Shrivastava.

Tambah Maisara, produk yang dihasilkan itu akan dipamerkan dalam Pameran Produk Buatan Malaysia yang akan berlangsung pada Mei depan sebagai langkah memperkenalkan produk berkenaan ke pasaran lebih luas.
Menurutnya lagi, IMedikel berperanan sebagai pengilang utama yang menyediakan kemudahan ‘one-stop centre’ merangkumi lima sektor pengilangan bagi memudahkan proses pembangunan produk.
“Selain itu, IMedikel juga memiliki pensijilan Good Manufacturing Practice (GMP) serta fasiliti pengilangan yang berdaftar dengan United States Food and Drug Administration (USFDA) dan pensijilan halal, yang mampu membantu mempercepatkan proses eksport ke pasaran antarabangsa,” katanya.
Kerjasama tersebut dijangka membuka peluang baharu kepada IMedikel dalam memperluaskan jaringan perniagaan global serta memperkukuhkan kedudukan syarikat sebagai pengilang produk makanan dan kosmetik bertaraf antarabangsa.
IMedikel TV






