PETALING JAYA: Ketua kontinjen (CDM) negara ke Sukan Asia Aichi-Nagoya, Datuk Mohd Sumali Reduan mengakui krisis peperangan di Asia Barat memberi sedikit kegusaran menjelang temasya itu yang hanya berbaki kira-kira lima bulan lagi.
Jelas Sumali, konflik berkenaan bukan sahaja menjejaskan kestabilan rantau terbabit, malah berpotensi memberi impak kepada penyertaan beberapa negara yang dijangka mengambil bahagian dalam acara yang akan dipertandingkan.
Justeru, beliau berharap keadaan akan kembali pulih seperti sediakala agar setiap negara dapat melakukan persiapan rapi tanpa mengambil keputusan saat-saat akhir untuk menarik diri.
“Memang merisaukan sebab masanya dah tidak lama lagi. Ia banyak mengganggu dan saya risau ada negara-negara yang akhirnya tidak dapat menyertai. Tapi saya harap krisis ini dapat ditangani segera dan tidak berlarutan panjang supaya keadaan kembali normal,” katanya selepas Mesyuarat Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) kali pertama (2025-2027), hari ini.
Selain itu, Sumali juga melihat apa yang berlaku antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) memberi kesan dari segi perbelanjaan yang akan digunakan nanti.
Maka, beliau tidak menolak kemungkinan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan memperketatkan pemilihan atlet susulan peningkatan kos termasuk harga minyak dan tiket penerbangan.
“Mungkin. Kita serahkan kepada MOM. Mereka mungkin akan kurangkan atlet dan hanya hantar yang betul-betul ada peluang menyumbang pingat.
“Tapi buat masa ini saya belum ada maklumat lanjut. Ia bergantung kepada sejauh mana krisis ini memberi kesan kepada ekonomi kita,” katanya.
Mengulas mengenai sebarang pelan alternatif sekiranya keadaan bertambah buruk, beliau menjelaskan perkara itu masih belum dibincangkan secara rasmi.
“Belum ada lagi dalam perbincangan rasmi, tapi ada perbincangan ringkas dengan beberapa pihak MOM baru-baru ini. Kita tunggu ‘lampu hijau’ daripada Tan Sri Norza (Presiden MOM) dan perbincangan bersama Menteri. Sebagai CDM, saya tidak mahu mendahului mereka,” katanya.
Untuk rekod, Sukan Asia 2026 akan diadakan di Nagoya, Jepun dari 19 September hingga 4 Oktober 2026. – HMetro Online –
IMedikel TV






