Home Hiburan ISU LAYANAN KASAR: AZMI AKUI KES BERAKHIR BAIK SELEPAS BANK MOHON MAAF

ISU LAYANAN KASAR: AZMI AKUI KES BERAKHIR BAIK SELEPAS BANK MOHON MAAF

200
0

KUALA LUMPUR: Anggota kumpulan Caliph Buskers, Azmi Saat, menghargai tindakan pihak bank yang segera menghubunginya bagi memohon maaf dan menjernihkan keadaan susulan dakwaan isterinya menerima layanan kasar.

Memetik laporan menerusi Berita Harian Azmi atau nama sebenarnya Khairul Azmi Muhammad Saat, 39, berkata, permohonan maaf itu dibuat selepas video luahannya berhubung layanan kurang memuaskan terhadap isterinya, Nazira Muhammad, yang juga orang kurang upaya (OKU), tular di media sosial.

“Perkara seperti itu bukan kali pertama berlaku, tetapi kali ini memberi kesan kepada saya apabila isteri menangis dan meninggikan suara sedikit.

“Sebelum ini, kami pernah berdepan situasi sama ketika berada di pusat beli-belah, namun kami anggap ia perkara biasa.

“Namun, pada kejadian itu, mungkin isteri sudah tidak tahan, menyebabkan saya turut hilang sabar. Syukur, perkara berakhir dengan baik apabila pihak bank menghubungi dan bertemu kami untuk memohon maaf,” katanya kepada BH Online.

Beliau ditemui pada majlis rumah terbuka Caliph Buskers di kuarters KTBM Bangsar, di sini, baru-baru ini.

Azmi berkata, susulan permohonan maaf itu, beliau mengambil keputusan menurunkan semua video berkaitan yang dimuat naik di media sosial.

“Bagaimanapun, ada pihak lain yang sudah memuat naik semula video berkenaan di platform lain, jadi saya tidak dapat berbuat apa-apa,” katanya.

Dalam pada itu, Azmi mengakui berasa terkilan apabila nama kakitangan bank terbabit disebut dalam video yang dikongsikan.

“Dari segi emosi, saya rasa bersalah kerana ada menyebut nama individu berkenaan.

“Saya harap orang ramai tidak dapat mengenal pasti individu itu, namun apabila saya keluar, ada yang menegur mengenai kejadian tersebut. Nampaknya ramai yang sudah mengetahui dan memberi reaksi.

“Malah, ada juga yang sebelum ini kurang memberi perhatian kepada Caliph Buskers, tetapi kembali menunjukkan sokongan selepas video itu tular,” katanya.

Azmi yang juga OKU berharap semua pihak dapat memberikan layanan profesional tanpa mengira latar belakang atau kekurangan seseorang.

“Kami tidak mengharapkan layanan istimewa, memadai diberikan layanan baik dan profesional. Jika tidak dapat membantu sekalipun, cukuplah berkomunikasi dengan sopan,” katanya.

Terdahulu, Azmi meluahkan kekecewaan di media sosial terhadap tindakan seorang kakitangan sebuah bank yang didakwa bercakap kasar dengan isterinya. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here