Home Hiburan ‘LATIHAN’ TAHUN LALU BANTU TEMPUH LEBARAN SEORANG DIRI

‘LATIHAN’ TAHUN LALU BANTU TEMPUH LEBARAN SEORANG DIRI

91
0

“Tahun lalu seolah-olah seperti ‘latihan’ menghadapi raya tahun ini yang benar-benar saya sambut seorang diri.”

Itu luahan jujur pelakon, Aprena Manrose apabila ditanya mengenai persiapannya menyambut Aidilfitri kali ini tanpa kehadiran insan bergelar suami.

Meskipun reda dengan takdir menimpa mahligai yang dibina sebelum ini, Aprena atau nama sebenarnya Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman mengakui perasaan gementar dalam meniti hari mendatang.

Menurut pelakon drama Hatimu Sedingin Salju ini, sambutan tahun ini tidak mengejutkan sepenuhnya kerana dia sudah mula membiasakan diri sejak tahun lalu.

Walaupun perpisahan mereka belum sah sepenuhnya pada ketika itu namun mereka sudah pun membawa haluan masing-masing.”Saya tidak sangka pada tahun berikutnya saya benar-benar sambut raya seorang diri. Namun semuanya okay, Alhamdulillah. Saya masih ada papa bersama saya,” katanya.

Jika tahun lalu Indonesia menjadi destinasi pilihan, kali ini Aprena bakal meluangkan masa di tanah air sahaja.

Bapa kesayangannya, Iwan Syahman merancang memulakan sambutan di Kuala Selangor sebelum bergerak ke Kuantan, Pahang pada hari raya kedua.

Bercerita mengenai rutin Aidilfitri, Aprena mengakui wujud jurang yang ketara selepas tidak lagi bergelar isteri.

Jika dahulu masa perlu dibahagikan antara dua keluarga, tetapi kini perhatiannya tertumpu 100 peratus kepada darah daging sendiri.

“Sekarang saya boleh memberi tumpuan sepenuhnya kepada keluarga saya sendiri. Apabila bersama keluarga, barulah kami berkesempatan menziarahi rumah saudara-mara seperti mak cik dan pak cik di sebelah keluarga saya,” katanya.

Kesibukan Aprena menjelang Aidilfitri juga bertambah apabila dia kini giat membantu projek terbaharu bapanya yang juga penyanyi dangdut legenda.

Dia bertindak selaku tulang belakang dalam penghasilan video muzik lagu raya terbaharu Iwan berjudul Lebaran Datang Lagi.

“Lagu itu dihasilkan pada saat akhir. Papa seorang yang sangat ringkas, asalnya dia mahu rakam menggunakan telefon sahaja tetapi saya mahu ia nampak profesional. Jadi, saya bantu uruskan pasukan produksi, lokasi dan idea jalan cerita,” katanya.

Menariknya, video muzik itu bakal menyaksikan seluruh keluarga mereka mengenakan busana serba putih, yang juga menjadi tema warna pakaian mereka pada pagi 1 Syawal.

Menyentuh soal sensitiviti apabila pulang ke kampung, pelakon berusia 33 tahun ini bersyukur kerana dikelilingi keluarga yang sangat memahami.

Tiada istilah ‘soal siasat’ atau tekanan yang diterima daripada saudara-mara mengenai kegagalan rumah tangganya.

“Keluarga saya sendiri pernah melalui pengalaman perpisahan, jadi perkara seperti ini bukan sesuatu yang asing bagi kami. Mereka lebih memberi sokongan dan semangat,” katanya.

Bagaimanapun, dia tidak menafikan ada sedikit rasa ‘janggal’ pada awalnya.

Selepas menghabiskan masa selama 14 tahun dalam hubungan cinta sejak usia 18 tahun, dan mendirikan rumah tangga pada usia 23 tahun, Aprena kini nekad untuk ‘berehat’ daripada memikirkan soal pasangan hidup.

“Sekarang saya mahu memberi ruang untuk diri sendiri terlebih dahulu dan belajar menyayangi diri sendiri,” katanya.

Mempunyai latar belakang keluarga dari Malaysia dan Indonesia, Aprena berkongsi pengalaman Aidilfitri di negara seberang yang disifatkannya lebih meriah.

“Seawal jam 7 pagi sudah ada perarakan. Biasanya kami berkumpul di rumah datuk di Medan. Makanan pun lebih kurang, sama ada rendang, cuma gaya masakannya berbeza,” katanya. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here