Home Buletin Semasa RUMAH DIJADIKAN TRANSIT PENYELUDUPAN MINYAK MASAK BERSUBSIDI, TIGA DICEKUP

RUMAH DIJADIKAN TRANSIT PENYELUDUPAN MINYAK MASAK BERSUBSIDI, TIGA DICEKUP

157
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikelTV

KOTA BHARU: Taktik licik sindiket penyeludupan minyak masak bersubsidi yang menggunakan sebuah rumah sebagai pusat transit terbongkar selepas diserbu pihak berkuasa di Kampung Lubuk Tapah, Pasir Mas, pada Khamis.

Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, dalam serbuan kira-kira jam 3.45 petang itu, Unit Risikan dan Tindakan Khas (URTK) menahan tiga lelaki tempatan ketika suspek sedang memindahkan kotak minyak masak di hadapan rumah berkenaan.

Menurutnya, pihaknya terlebih dahulu mengesan pergerakan sebuah van jenis Toyota Hiace putih bernombor pendaftaran tempatan yang dipercayai digunakan sindiket untuk menghantar bekalan ke lokasi transit.

“Hasil pemeriksaan, sebanyak 12 kotak minyak masak bersubsidi berjenama seberat 204 kilogram (kg) ditemui di hadapan rumah, manakala 119 kg lagi dijumpai di dalam rumah terbabit,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, kesemua barangan itu disita bagi tujuan siasatan.

Selain itu, pihaknya turut menyita satu bil elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi tujuan dokumentasi dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here