KUALA LUMPUR: Penerbit Skop Productions Sdn Bhd, Datuk Yusof Haslam mendedahkan pihaknya sudah ‘melamar’ Que Haidar dan Nur Fazura untuk bergandingan sebagai watak utama dalam projek filem baharu yang bakal diarahkan anaknya, Syafiq pada penghujung tahun ini.
Memetik laporan Harian Metro, Yusof berkata, pihaknya sudah menyatakan hasrat itu kepada Que dan Fazura yang hadir pada malam gala filem Malaikat Malam dan masing-masing memberikan reaksi yang positif mengenai perkara itu.
“Saya mahu ambil Que untuk berlakon filem terbitan Skop Productions yang akan datang dan mahu gandingkan dengan pelakon yang rapat dengannya sekarang iaitu Fazura.
“Insya-Allah, mereka akan digandingkan dalam filem baharu terbitan Skop Productions dan di bawah arahan Syafiq.
“Perkara ini agak sulit. Jadi, saya tidak boleh kongsi lanjut. Saya juga baharu berjumpa Que dan Fazura dan mereka cakap okay. Jadi, perkara ini masih dalam peringkat perbincangan. Insya-Allah, semuanya okey,” katanya ketika ditemui pada malam gala filem Malaikat Malam di GSC Mid Valley di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut, Yusof berkata, pihaknya mahu mengambil Que dan Fazura kerana masing-masing sudah lama tidak terbabit dalam mana-mana projek terbitan Skop Productions.
“Saya baharu ‘merisik’ dan lihat Que serta Fazura masing-masing gembira. Mereka cakap okay dan sedia berbincang lebih lanjut,” katanya.
Filem Malaikat Malam mula menemui penonton di pawagam seluruh negara, mulai hari ini.
Selain Que, filem yang mendapat sentuhan pengarah muda, Nazifdin Nasrudin ini menampilkan barisan pelakon iaitu Syafiq Kyle, Tracie Sinidol, Kodi Rasheed, Riezman Khuzaimi dan ramai lagi.
Filem Malaikat Malam adalah terbitan empat penerbit iaitu Viper Studios, Skop Productions, Astro Shaw dan Primeworks Studios (PWS). – HMetro Online –
IMedikel TV






