Home Luar Negara PENGEKSPORT CHINA NAIKKAN HARGA SUSULAN KOS MENINGKAT AKIBAT PERANG

PENGEKSPORT CHINA NAIKKAN HARGA SUSULAN KOS MENINGKAT AKIBAT PERANG

BEIJING: Harga barangan dari China termasuk mainan dan alatan perubatan mula dinaikkan susulan kekurangan bahan api akibat perang Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran.

Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, pengeksport China dilaporkan mula menaikkan harga sejak minggu lalu apabila kos membabitkan minyak melonjak dan konflik di Asia Barat tidak menunjukkan tanda akan reda.

Pengurus jualan sebuah syarikat pengeluar peralatan perubatan berpangkalan di Shanghai, Pang Ling, berkata beliau kini giat menghubungi pelanggan, kebanyakannya dari AS untuk menggalakkan mereka ‘mengikat harga’ dengan membuat tempahan segera sebelum kos meningkat.

Katanya, syarikat beliau merancang menaikkan harga sebanyak enam peratus mulai minggu depan, bagi menampung sebahagian besar kenaikan kos input.

“Sesetengah pelanggan membuat tempahan segera, manakala yang lain kekal dengan kadar pembelian biasa.

“Kenaikan kos memaksa kami untuk menaikkan harga. Ini kali pertama sepanjang kerjaya saya.

“Bagaimanapun ia adalah langkah terakhir dan kami sentiasa sedar risiko pelanggan beralih kepada pesaing,” katanya.

Tambahnya, sebelum ini beliau terpaksa menurunkan harga lebih lima peratus kepada pembeli AS pada 2025 susulan tarif yang dikenakan oleh Donald Trump, sebagai sebahagian daripada usaha berkongsi beban kos dengan peruncit AS.

Pengeksport turut berdepan ketidaktentuan pasaran yang menjejaskan perancangan pengeluaran dan penetapan harga jangka panjang.

Situasi itu menunjukkan perubahan ketara bagi pengeksport China yang selama ini terpaksa menurunkan harga akibat persaingan sengit dan lebihan kapasiti.

Bahan mentah berkaitan minyak termasuk poliester, gentian akrilik dan plastik seperti poliuretana yang digunakan dalam kateter perubatan meningkat sehingga 50 peratus pada minggu pertama konflik, menurut pembekal di China.

Walaupun harga kini sedikit menurun, ia masih lebih tinggi berbanding paras sebelum perang, iaitu kira-kira 10 peratus. Selain itu, kos penghantaran turut menambah kepada peningkatan.

Minggu lalu, kenaikan kadar penghantaran dilaporkan paling ketara sejak perang bermula, seiring kenaikan harga minyak.

Kadar penghantaran meningkat antara belasan hingga 30 peratus, malah ada yang mencecah 50 peratus bergantung kepada laluan dan saluran logistik.

Seorang lagi pengurus jualan, Huang Lun, dari syarikat pakaian di Guangzhou yang menjual pakaian dalam dan seluar yoga ke AS serta Eropah melalui Amazon dan Shein, berkata syarikatnya mula menaikkan harga bagi kebanyakan pasaran untuk menampung kos bahan dan logistik.

Menurutnya, keadaan sekarang adalah lebih baik berbanding ketika tarif AS terhadap China meningkat kepada 145 peratus pada 2025.

Beliau bagaimanapun memberi amaran bahawa ia boleh menjadi lebih buruk jika perang berlarutan, sekali gus menjejaskan lebih banyak pasaran dan produk serta menyebabkan tiada tempat untuk berlindung.

“Buat masa ini julat kami masih mampu menyerap sebahagian besar kenaikan kos tetapi keadaan itu tidak akan kekal jika perang berpanjangan,” katanya. – AGENSI, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here