Home Sukan PERSIAPAN AWAL KARATE NEGARA UNTUK SUKAN ASIA 2026 BERMULA

PERSIAPAN AWAL KARATE NEGARA UNTUK SUKAN ASIA 2026 BERMULA

64
0

KUALA LUMPUR: Atlet karate negara, K Thevendran melaungkan keyakinan tinggi untuk memburu pingat emas di Sukan Asia 2026 di Jepun pada September ini, namun sedar laluan ke pentas berprestij itu perlu disusuli aksi konsisten dalam setiap kejohanan yang akan disertai.

Memetik laporan Harian Metro, bagi Thevendran, fokus utamanya ketika ini adalah melakukan persiapan rapi bagi menghadapi kejohanan awal musim termasuk Kejohanan Persekutuan Karate Asia Tenggara (SEAKF) pada April depan, sebelum mengharungi beberapa lagi saingan penting sebagai medan pemilihan dan penilaian prestasi menjelang Sukan Asia.

Menurutnya, kehadiran semula bekas jurulatih kumite negara, Andris Vasilevskis turut memberi suntikan positif kepada persiapan skuad negara dalam membentuk semula keyakinan serta memperkemaskan perancangan ke arah temasya terbesar Asia itu.

“Persiapan tahun ini sudah bermula dan kejohanan pertama adalah SEAKF pada April. Kami juga ada jurulatih baru iaitu Andris yang sebenarnya jurulatih lama dan kini kembali bersama pasukan sebagai penasihat.

“Sasaran utama memang Sukan Asia pada September. Jadi kejohanan-kejohanan seperti SEAKF, Kejohanan Karate Asia dan beberapa saingan lain perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk menang, sekali gus membina motivasi serta keyakinan buat diri saya sendiri,” katanya.

Namun, pemenang pingat emas Sukan Sea Thailand 2025 itu mengakui peluang untuk menempatkan diri dalam skuad utama agak cerah tetapi dirinya tetap perlu lebih berhati-hati kerana masih ada persaingan dengan beberapa atlet senior yang memiliki pengalaman lebih luas di pentas antarabangsa.

“Kalau ikutkan peluang saya, mungkin dalam 70 hingga 80 peratus (dalam pasukan ke Jepun). Saya baru menang Sukan Sea, tetapi senior-senior saya masih ada dan mereka lebih berpengalaman.

“Itu yang buat saya perlu sentiasa buktikan kemampuan. Saya kena beri persembahan terbaik dalam setiap kejohanan yang disertai untuk melayakkan diri ke Sukan Asia,” katanya.

Mengulas kategori yang bakal disertainya, Thevendran berkata dia bersedia beraksi sama ada dalam bawah 55 kilogram (kg) atau bawah 60 kg, namun ia masih belum dimuktamadkan kerana bergantung kepada kategori yang dipertandingkan penganjur.

Dalam pada itu, atlet berkenaan turut menyimpan misi peribadi untuk menebus kekalahan lalu kepada pencabar utama dari Kazakhstan, Zholaman Bigabyl yang dianggap sebagai penghalang terbesar dalam usahanya memburu kejuaraan.

Katanya, sasaran emas bukan sekadar impian kosong memandangkan kebanyakan atlet yang akan ditemuinya dalam kejohanan pemanas badan itu adalah lawan sama yang dijangka beraksi di Sukan Asia.

“Memang saya yakin untuk menang emas. Tahun lalu saya menang gangsa di Kejohanan Asia 2025 dan saya nampak peluang itu ada.

“Bagi saya, atlet dari Kazakhstan itu adalah penghalang utama. Saya mahu tewaskan dia kerana dia memang lawan paling sukar dan sudah tiga kali menjuarai Kejohanan Asia. Kalau saya dapat atasi dia, peluang untuk menang emas itu cerah,” katanya. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here