Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Dua khemah jualan mercun musnah dalam satu kebakaran di kawasan Pasar Malam Wakaf Che Yeh, di sini, pagi tadi.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II KUP Abd Manah Husin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui sistem NG999 pada jam 10.12 pagi sebelum jentera pertama tiba di lokasi enam minit kemudian.
“Kebakaran membabitkan dua khemah bersaiz 20 kaki x 20 kaki yang ditempatkan di tepi jalan utama berhampiran premis perniagaan.
“Kedua-dua khemah terbabit terbakar sepenuhnya, manakala premis berhampiran hanya mengalami sedikit kesan bahangan dan asap.
“Operasi pemadaman berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 10.25 pagi sebelum ditamatkan kira-kira sejam kemudian, iaitu pada jam 11.44 pagi,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.
Operasi berkenaan membabitkan 17 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Darul Naim, BBP Tunjung serta BBP Kota Bharu Hilir dengan kekuatan beberapa pegawai dan anggota bersama dua jentera, masing-masing satu Fire Rescue Tender (FRT) dan satu unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS).
IMedikel TV






