Home Hiburan SHIMA TOLAK TAWARAN JIKA BAYARAN ‘FUN FAIR’

SHIMA TOLAK TAWARAN JIKA BAYARAN ‘FUN FAIR’

KUALA LUMPUR: Penyanyi veteran, Shima, 57, meluahkan rasa kesal apabila masih menerima tawaran bayaran rendah untuk persembahan pentas, meskipun sudah puluhan tahun bergelar anak seni.

Memetik laporan Berita Harian. Shima atau nama sebenarnya Ku Nazhatul Shima Ku Kamaruzzaman berkata, bayaran yang ditawarkan kadangkala tidak setimpal dengan pengalaman serta kos persediaan perlu ditanggung.

Menurutnya, dia tidak menolak undangan persembahan, namun hanya akan menerima tawaran yang berpadanan dengan nilai kerjayanya.

“Kalau bayaran macam zaman ‘fun fair’, saya takkan terima. Masih ada tawarkan RM1,500, sedangkan sekarang sudah 2026, bukan awal 90-an lagi.

“Kami juga ada kos seperti minyak, pakaian dan persediaan. Berbaloi atau tidak, itu yang perlu difikirkan,” katanya ketika ditemui pada Konsert Ijmal Cinta Ramadan 3.0 di Saloma Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Shima berkata, isu bayaran rendah bukan perkara baharu, malah sudah berlaku sejak awal pembabitannya dalam industri sekitar akhir 1980-an.

“Perkara ini sudah lama berlaku. Sejak saya berusia 19 tahun lagi. Bezanya di luar negara, nilai bayaran semakin meningkat.

“Namun, kita tidak boleh samakan dengan situasi di negara kita kerana pendekatan dan pemikiran berbeza,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Shima mengakui ralat apabila single berjudul Tiada Erti yang dilancarkan tahun lalu kurang mendapat sambutan.

Katanya, kekurangan promosi menjadi faktor utama lagu itu tidak menyerlah.

“Lagu itu diedarkan Universal Music, tetapi promosi dilakukan sendiri tanpa penaja.

“Hanya saya dan komposer berusaha mempromosikan, sebab itu ia tidak mendapat perhatian walaupun mempunyai elemen 90-an,” katanya.

Shima berkata, dia berharap akan ada perkembangan positif terhadap lagu itu selepas Ramadan.

“Memang ralat bila lagu sudah siap, tetapi saya harap akan ada perubahan selepas ini,” katanya.

Berkongsi mengenai kesihatan, Shima berkata, dia perlu mendapatkan rawatan secara berkala bagi memastikan keadaannya terkawal.

“Orang nampak saya sihat, tetapi penyakit ini tidak kelihatan. Setiap bulan saya ke hospital untuk rawatan.

“Saya ada slipped disc, bronchitis dan osteoarthritis, selain masalah kolesterol. Itu perkara biasa bila usia meningkat,” katanya. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here