Home Buletin Semasa 2 JUTA KENDERAAN DIJANGKA MEMASUKI KELANTAN SEPANJANG PERAYAAN AIDILFITRI INI

2 JUTA KENDERAAN DIJANGKA MEMASUKI KELANTAN SEPANJANG PERAYAAN AIDILFITRI INI

79
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Kira-kira 2 juta kenderaan dijangka akan memasuki negeri Kelantan sepanjang musim perayaan Aidilfitri ini.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, susulan itu pihaknya melaksanakan Ops Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2026 bermula 13 sehingga 29 Mac ini.

“Sepanjang operasi ini, JPJ akan menjalankan rondaan di semua jalan Persekutuan dan Negeri dengan tumpuan kepada 10 koridor utama trafik dan 38 kawasan ‘panas’ kemalangan berdasarkan data daripada Polis Diraja Malaysia.

“Antara kawasan itu adalah Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Jalan Pasir Puteh-Kuala Terengganu dan Jalan Jeli-Gerik,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Sistem Kesedaran Keselamatan Automatik (AWAS) di hadapan Istana Kubang Kerian di sini, pada Isnin.

Mohd Misuari berkata, pihaknya juga menggerakkan seramai 187 anggota penguat kuasa melibatkan 33 kenderaan penguat kuasa serta 50 pasukan operasi yang terdiri daripada semua bahagian JPJ Kelantan.

“Antara sembilan kesalahan utama yang diberi tumpuan adalah termasuk tidak mematuhi had laju, melanggar lampu isyarat, memandu di lorong kecemasan serta menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

“Kita juga menjalankan penguatkuasaan melalui beberapa kaedah termasuk rondaan beruniform, penyamaran menggunakan kenderaan tanpa logo dan penyamaran sebagai penumpang bas ekspres,” katanya.

Katanya, pendekatan itu dilaksanakan bagi meningkatkan Perception of Being Caught (POBC) dalam kalangan pengguna jalan raya.

Selain itu, beliau berkata, Unit Risik JPJ juga menggunakan dron untuk memantau aliran trafik serta mengesan kesalahan pengguna jalan raya dari udara.

Katanya, bagi kesalahan yang dirakam, pemilik kenderaan akan menerima Notis Panggilan Temu Siasat di bawah Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan 1987 jika sabit kesalahan.

“Saya ingin menyeru kepada semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan mengutamakan keselamatan ketika memandu,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here