Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Sebuah farmasi di Jalan Padang Garong, di sini dilaporkan terbakar kira-kira jam 7.07 pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu, Timbalan Penguasa Bomba II, Zuzuki Safei, berkata kerja pemadaman api agak sukar pada peringkat awal kerana semua pintu premis berada dalam keadaan berkunci.
”Ketika kejadian farmasi berkenaan masih belum beroperasi dan keadaan di dalam premis juga gelap.
“Pasukan bomba terpaksa memasuki premis dengan memakai alat bantuan pernafasan bagi menjalankan kerja pemadaman,” katanya ketika dihubungi kru IMedikel TV, hari ini.
Menurutnya, kebakaran hanya melibatkan kira-kira 15 peratus daripada keseluruhan premis.
“Api tidak mudah merebak kerana kebanyakan barangan di dalam farmasi terdiri daripada bahan yang tidak mudah terbakar seperti botol-botol ubat,” katanya.
Beliau berkata, operasi pemadaman membabitkan seramai 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu dengan bantuan tiga jentera.
Katanya, punca kebakaran masih dalam siasatan dan kejadian tidak membabitkan sebarang mangsa.
“Anggaran keluasan premis farmasi itu adalah kira-kira 40 x 70 kaki,” katanya.
Operasi berjaya dikawal pada jam 7.22 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.55 pagi.
IMedikel TV






