Home Buletin Semasa LONJAKAN HARGA MINYAK BRENT DORONG PELARASAN HARGA BAHAN API, RON95 KEKAL RM1.99

LONJAKAN HARGA MINYAK BRENT DORONG PELARASAN HARGA BAHAN API, RON95 KEKAL RM1.99

127
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Lonjakan harga minyak mentah dunia yang mencecah sehingga AS$119 setong baru-baru ini mendorong kerajaan melakukan pelarasan terhadap harga bahan api tempatan, menurut kenyataan Kementerian Kewangan Malaysia (MoF) semalam.

MoF memaklumkan, kenaikan harga minyak global berkenaan berlaku susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat, termasuk konflik melibatkan serangan ke atas Republik Islam Iran.

“Pada 9 Mac lalu harga minyak mentah Brent meningkat sehingga AS$119 setong sebelum kembali menurun sekitar AS$90 setong, namun keadaan pasaran global masih tidak menentu.

“Sehubungan itu, harga pam petrol RON95 dan RON97 dinaikkan sebanyak 60 sen seliter, manakala harga diesel di Semenanjung Malaysia meningkat sebanyak 80 sen seliter,”menurut kenyataan itu.

Bagi tempoh 12 hingga 18 Mac ini, harga runcit bahan api ditetapkan pada RM3.85 seliter bagi RON97, RON95 tanpa subsidi RM3.27 seliter dan diesel di Semenanjung Malaysia RM3.92 seliter.

“Walaupun berlaku peningkatan harga bahan api, kerajaan mengekalkan harga petrol RON95 bersubsidi pada kadar RM1.99 seliter untuk rakyat melalui inisiatif BUDI95.

“Selain itu, harga diesel bersubsidi untuk rakyat di Sabah dan Sarawak turut dikekalkan pada kadar RM2.15 seliter,”jelas kenyataan itu.

Manakala harga diesel bersubsidi bagi sektor pengangkutan darat awam serta pengangkutan barangan di Semenanjung Malaysia pula masing-masing kekal pada RM1.88 seliter dan RM2.15 seliter.

Dalam pada itu, kerajaan turut menaikkan bantuan tunai interim kepada penerima di bawah program BUDI Diesel Individu dan BUDI Diesel Agri-Komoditi daripada RM200 kepada RM300 sebulan bagi bulan Mac 2026.

“Pembayaran tambahan sebanyak RM100 akan disalurkan kepada penerima yang layak bermula 17 Mac ini,”menurut kenyataan.

Kerajaan turut memaklumkan usaha penguatkuasaan akan dipertingkatkan bagi membendung ketirisan serta penyalahgunaan bahan api bersubsidi memandangkan harga bahan api di Malaysia masih lebih rendah berbanding beberapa negara jiran.

Dalam kenyataan sama, kerajaan menegaskan komitmen untuk terus mengimbangi perlindungan kepada rakyat dengan kebertanggungjawaban fiskal dalam pengurusan subsidi negara.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here