Home Politik HAMZAH TIDAK BERHASRAT SERTAI UMNO

HAMZAH TIDAK BERHASRAT SERTAI UMNO

109
0

PUTRAJAYA: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengesahkan tidak berhasrat untuk menyertai semula UMNO walaupun pintu keahlian parti itu dibuka tanpa syarat.

Memetik laporan Berita Harian, beliau berkata, tumpuan utamanya ketika ini adalah memastikan semua pihak dapat bersama dalam usaha melakukan agenda ‘reset’ terhadap keadaan negara demi masa depan rakyat.

“Saya bersyukur pada malam ini kerana majlis ini dapat sambutan yang agak baik. Kita lakukan kerana seperti yang saya katakan tadi untuk merapatkan silaturahim.

“Dalam negara kita, bila saya sebut merapatkan silaturahim ini, mana-mana parti pun saya tidak ambil kira, termasuk juga UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua Pembangkang di sini, malam tadi.

Yang turut hadir beberapa pemimpin Perikatan Nasional termasuk Presiden Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau dan pemimpin PAS yang juga Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim.

Majlis terbabit turut dihadiri Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dan Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Media sebelum ini melaporkan UMNO membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat, digantung keahliannya untuk kembali ke parti itu tanpa syarat.

Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan berkata pelawaan di bawah inisiatif ‘Rumah Bangsa’ itu juga dibuka kepada mana-mana individu yang mahu bersama dengan perjuangan parti itu untuk menyertai UMNO.

Mengulas lanjut, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut, menegaskan ramai pemimpin daripada pelbagai parti turut bersama dengannya dalam usaha memperkukuh agenda berkenaan.

“Tadi pun nampak banyak parti yang bersama dengan saya. Jadi, saya tengok macam mana masa depan rakyat.

“Yang penting kepada saya adalah semuanya bersetuju untuk kita ‘reset’ keadaan yang berlaku pada hari ini,” katanya.

Menurutnya, beberapa perkara memerlukan perhatian serius bagi memastikan negara memperoleh momentum baharu dalam usaha menyelesaikan pelbagai isu semasa.

“Kalau kita perlukan ‘traction’, kita perlukan kekuatan. Yang patut bersama dalam perjuangan ini untuk memastikan segala apa yang berlaku itu dapat diselesaikan dengan baik,” katanya.

Ditanya sekali lagi sama ada beliau berminat untuk kembali menyertai UMNO dalam masa terdekat, Hamzah sekadar memberi jawapan ringkas.

“Tak payah masuklah,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here