Home Buletin Semasa 159 TAHANAN DEPOT IMIGRESEN PEKAN NENAS DIHANTAR PULANG KE NEGARA ASAL

159 TAHANAN DEPOT IMIGRESEN PEKAN NENAS DIHANTAR PULANG KE NEGARA ASAL

99
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

JOHOR BAHRU: Seramai 159 tahanan warga asing dari pelbagai negara yang ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Pekan Nenas dihantar pulang ke negara asal masing-masing pada awal Mac lalu.

Menurut kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor, tahanan terbabit terdiri daripada 72 warga Indonesia, 35 warga Bangladesh, 20 warga Myanmar, 13 warga Thailand, lapan warga China, tiga warga India, tiga warga Vietnam, dua warga Sri Lanka, dua warga Nepal dan seorang warga Kemboja.

“Kesemua mereka dipindahkan ke negara asal melalui beberapa pintu keluar utama negara termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1 dan KLIA 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai serta Terminal Feri Stulang Laut.

“Semua tahanan yang dipindahkan memiliki pasport sah, manakala sebahagian daripada mereka turut dikeluarkan dokumen perjalanan sementara atau Emergency Travel Document oleh kedutaan negara masing-masing bagi tujuan penghantaran pulang,”menurut kenyataan itu semalam.

Tambah kenyataan berkenaan, kesemua individu yang dihantar pulang itu turut disenarai hitam dalam sistem jabatan dan tidak dibenarkan memasuki semula negara ini bagi tempoh yang ditetapkan.

“Pemindahan tahanan adalah antara aktiviti utama Depot Tahanan Imigresen Pekan Nenas yang dilaksanakan secara berterusan oleh Jabatan Imigresen Malaysia Johor bagi memastikan tiada lambakan tahanan yang telah selesai menjalani hukuman terus berada di negara ini,”jelas kenyataan itu.

Dalam pada itu, segala urusan penghantaran pulang membabitkan tahanan termasuk pembelian tiket dan sebagainya, boleh berurusan di kaunter perkhidmatan yang disediakan di Depot Imigresen Pekan Nenas tanpa sebarang caj perkhidmatan.

Sebarang pertanyaan boleh dibuat dengan menghubungi Unit Rekod dan Pemindahan Depot Imigresen Pekan Nenas di talian 07-6993540 atau melalui Sistem Pertanyaan Online (SPO) jabatan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here