Home Sukan IFAB PERKENAL LARANGAN TUTUP MULUT PERANGI PERKAUMAN

IFAB PERKENAL LARANGAN TUTUP MULUT PERANGI PERKAUMAN

109
0

LONDON: Pemain yang beraksi di pentas Piala Dunia selepas ini tidak lagi dibenarkan menutup mulut ketika berdepan lawan dalam usaha baharu memerangi isu perkauman dalam bola sepak.

Memetik laporan Agensi menerusi Berita harian, keputusan itu dipersetujui oleh Lembaga Persatuan Bolasepak Antarabangsa (Ifab), badan penggubal undang-undang bola sepak dunia, susulan dakwaan penghinaan berbaur perkauman membabitkan bintang Real Madrid, Vinicius Junior ketika aksi Liga Juara-Juara menentang Benfica.

Vinicius mendakwa dia dipanggil ‘mono’ (monyet dalam bahasa Sepanyol) oleh pemain lawan, Gianluca Prestianni, yang ketika itu menutup mulut menggunakan jersi bagi menghalang percakapan dibaca kamera.

Langkah melarang pemain menutup mulut ketika bertikam lidah diharap dapat meningkatkan ketelusan dan membantu siasatan jika berlaku insiden tidak wajar.

Selain itu, IFAB turut meluluskan beberapa perubahan peraturan bagi kejohanan akan datang, termasuk mewajibkan pemain yang menerima rawatan berada di luar padang sekurang-kurangnya satu minit kecuali jika insiden membabitkan kad kuning atau merah.

Kiraan detik lima saat juga akan diperkenalkan bagi lontaran ke dalam dan sepakan gol, manakala sistem video bantuan pengadil (VAR) dibenarkan membuat semakan terhadap kad kuning kedua serta keputusan sepakan penjuru yang salah.

Pada masa sama, pemain yang digantikan diberi tempoh 10 saat untuk meninggalkan padang, dan jika gagal berbuat demikian, pemain gantian tidak akan dibenarkan masuk serta-merta.

IFAB juga akan menguji cadangan mengurangkan sementara jumlah pemain kepada 10 orang sekiranya penjaga gol mengalami kecederaan, bagi mengelak kecederaan bersifat taktikal kerana penjaga gol ketika ini tidak diwajibkan keluar padang.

Dalam perkembangan lain, ujian rasmi cadangan ofsaid oleh Arsene Wenger akan bermula di liga utama Kanada.

Di bawah cadangan itu, gol hanya akan dibatalkan jika terdapat jarak jelas antara penyerang dan pertahanan, sekali gus memberi kelebihan lebih besar kepada pemain menyerang.

IFAB turut mengumumkan kajian selama dua tahun bagi menilai kaedah menambah baik penggunaan VAR. – AGENSI, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here