KUALA LUMPUR: “Kalau nak tunggu persatuan, rasanya lambat. Jadi lebih baik kita bertindak segera dan jangan sesekali tutup mata.”
Demikian tegas pelakon dan pengacara, Didie Alias atau lebih mesra disapa Mami mengenai inisiatif peribadinya yang sering menyantuni dan membantu rakan-rakan artis terutama mereka yang uzur dan ditimpa musibah.
Memetik laporan Harian Metro, Didie, 54, mengakui tindakannya itu didorong oleh rasa rindu terhadap ukhuwah sesama rakan seperjuangan yang kini semakin jarang dapat berkumpul seperti waktu dahulu.
Menurutnya, panggilan telefon daripada rakan pelakon iaitu Kazar Saisi baru-baru ini yang meluahkan perasaan rindu terhadap saat-saat dahulu benar-benar menyentuh hatinya.
“Kita tidak tahu ke mana arah hidup kita sekarang. Jadi bagi saya, inilah peluang untuk kita buat sedikit amal kebajikan.
“Kadang-kadang terfikir juga, adakah kita masih sempat untuk berjumpa lagi (dengan rakan yang sakit) ataupun tidak?” katanya kepada Harian Metro.
Menjawab dakwaan segelintir pihak yang mungkin salah faham dengan tindakannya memuat naik aktiviti ziarah di media sosial, Didie menjelaskan ia adalah strateginya untuk menarik lebih banyak bantuan.
“Saya buat sendiri, tak perlu tunggu sesiapa. Kadang-kadang orang fikir kita nak menunjuk, sebenarnya tidak.
“Bila saya uar-uarkan, rakan-rakan lain akan tahu. Mungkin ada antara mereka yang mempunyai kemampuan kewangan lebih untuk membantu,” katanya.
Menceritakan pengalaman sebelum ini, Didie berkongsi bagaimana dia membantu mengumpul dana buat pelakon dan pelawak, Shamsul Ghau Ghau yang memerlukan RM25,000 dengan kadar segera untuk pembedahan.
“Kita tahu dia ada wang, tapi mungkin itu untuk kelangsungan hidup. Bila perlukan RM25,000 secara mendadak, sudah tentu terkejut. Saya terus minta kod QR dia dan hubungi rakan-rakan lain untuk bantu sebarkan.
“Alhamdulillah, bantuan dapat dikumpul dan dia selamat jalani pembedahan. Itu sahaja usaha kecil yang mampu dilakukan. Macam zaman pandemik dulu, kita selalu sebut dan guna tanda pagar #kitajagakita,” katanya.
Di media sosial, nama Didie disebut-sebut netizen sebagai antara artis senior yang peka dengan keadaan dan keperluan rakan-rakan antaranya, keberadaannya bersama Amyza Aznan ketika anaknya sakit dan meninggal dunia, baru-baru ini. – HMetro Online –
IMedikel TV






