Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mempergiat pemantauan keselamatan makanan di bazar Ramadan seluruh negeri ini dengan mengambil sampel makanan secara rawak, khususnya membabitkan juadah berisiko seperti makanan berasaskan santan dan minuman.
Pengarahnya, Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata, langkah itu diambil bagi memastikan makanan yang dijual adalah bersih, selamat dan tidak tercemar, sekali gus mengelakkan insiden keracunan makanan sepanjang Ramadan.
“Kami akan mengambil sampel makanan dan minuman termasuk air balang untuk dianalisis di makmal keselamatan makanan di Peringat. Tempoh keputusannya diperoleh antara seminggu hingga dua minggu.
“Makanan berasaskan santan seperti rendang, kuih-muih, ayam percik dan juadah bergaul kelapa antara yang diberi perhatian kerana mudah rosak jika tidak dikendalikan dengan betul.
“Selain itu, penggunaan ais yang dihasilkan daripada air tidak terawat turut menjadi perhatian kerana boleh menjadi punca pencemaran.
“Kita pastikan ais yang digunakan diperbuat daripada air terawat dan diklorinkan, bukannya daripada sumber yang tidak selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Program Walkabout Bazar Ramadan di perkarangan bazar Stadium Sultan Muhammad IV, di sini.
Katanya, tindakan penguatkuasaan boleh diambil di bawah Akta Makanan 1993 dan Peraturan-Peraturan Makanan 2009 sekiranya didapati makanan tercemar atau pengendali gagal mematuhi peraturan ditetapkan.
“Kompaun boleh dikenakan terhadap pengendali makanan terbabit mengikut kesalahan yang dilakukan,”katanya.
Beliau berkata, sebanyak 87 pasukan dengan kekuatan 274 anggota digerakkan bagi memantau aktiviti bazar Ramadan di seluruh Kelantan.
Setakat tujuh hari Ramadan, katanya, pihaknya belum menerima sebarang laporan atau aduan berkaitan keracunan makanan.
“Alhamdulillah, setakat ini tiada insiden dilaporkan dan kita harap keadaan ini berterusan hingga akhir Ramadan,” katanya.
Sepanjang pemeriksaan awal Ramadan, sebanyak 15 notis ketidakpatuhan telah dikeluarkan terhadap premis yang gagal mematuhi peraturan kebersihan dan keselamatan makanan.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan peniaga supaya memastikan makanan sentiasa tertutup, dikendalikan oleh individu yang telah menerima suntikan tifoid serta menggunakan peralatan bersesuaian seperti sarung tangan dan penyepit bagi mengelakkan pencemaran silang.
“Tanggungjawab memastikan makanan selamat bukan hanya pada peniaga, tetapi juga pengguna. Gunakan hak kita sebagai pengguna,” katanya.
Menurutnya operasi itu bukan sahaja menumpukan pemeriksaan di bazar Ramadan, malah bermula dari peringkat bahan mentah termasuk pemeriksaan di kilang pemprosesan ayam, kilang ais dan kilang santan.
“Keselamatan makanan bukan hanya di peringkat jualan, tetapi bermula daripada sumber bahan mentah. Kita mahu pastikan bahan digunakan adalah berkualiti dan selamat,” katanya.
IMedikel TV






