Home Politik 37 INSIDEN RAGUT NYAWA MAHASISWA DALAM 5 TAHUN

37 INSIDEN RAGUT NYAWA MAHASISWA DALAM 5 TAHUN

132
0

KUALA LUMPUR: Sebanyak 37 insiden yang meragut nyawa mahasiswa direkodkan sepanjang tempoh lima tahun sehingga tahun lalu.

Memetik laporan Berita Harian, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim, berkata 18 kes membabitkan kemalangan dan kematian mengejut, 19 kes.

“Kes membabitkan jenayah tidak pernah direkodkan. Sepanjang lima tahun, kes direkod ini agak kecil, namun tentu sekali kalau boleh kita mahu ia tidak berlaku langsung.

“Bagi penambahbaikan di masa hadapan, kita sentiasa memperkasakan langkah baharu termasuk mengeluarkan arahan rasmi kepada semua IPT (Institut Pendidikan Tinggi) awam dan swasta untuk laksanakan pemeriksaan keselamatan secara menyeluruh dan berkala,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Adam berkata, langkah baharu itu juga termasuk melaksana semakan terhadap sistem keselamatan di kampus dan kediaman serta keberkesanan kawalan akses kamera litar tertutup (CCTV), pemasangan CCTV serta laluan keselamatan yang terang dan selamat.

“Kemudian kita juga pastikan ada semakan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang berkait dengan keselamatan dan kecemasan termasuk prosedur keluar masuk pelawat di asrama serta respons pantas sekiranya berlaku sebarang insiden.

“Manual rujukan permohonan dan penggunaan kenderaan bukan milikan universiti turut dibangunkan dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) serta Task Force Kebajikan Mahasiswa Universiti Awam untuk kita pastikan penggunaan kenderaan dilaksanakan secara terancang, telus serta menepati piawaian keselamatan kewangan dan tadbir urus,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama erat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga pihak berkuasa tempatan (PBT) juga dijayakan bagi meningkatkan kehadiran polis komuniti dan juga rondaan keselamatan di sekitar kawasan kampus.

“Semua langkah ini adalah usaha kita pastikan dalam jangka masa pendek, sederhana dan juga panjang, keselamatan mahasiswa terus terbela dan juga warga kampus kita sentiasa selamat,” katanya. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here