KUALA LUMPUR: Kemalangan ketika menjalani penggambaran sebuah filem aksi di Kota Tinggi, Johor, baru-baru ini, meninggalkan trauma buat Amir Nafis.
Memetik laporan Berita Harian, Amir atau nama sebenar, Amir Nafis Ma’arof, 34, menyifatkan sejak bergelar pelakon, kemalangan di lokasi itu paling teruk berikutan kecederaan serius dialami.
Aktor yang terkenal dengan watak Inspektor Farouk menerusi naskhah pecah panggung, Sheriff: Narko Intergriti itu bagaimanapun enggan memperincikan kronologi kejadian atas faktor tertentu.
Menurutnya, kenyataan rasmi berkaitan kejadian itu bakal dikeluarkan syarikat produksi dalam masa terdekat, selain meminta orang ramai menunggu.
“Buat masa ini, saya tidak boleh berkongsi secara terperinci atau perkara sebenar di sebalik kejadian atas faktor tertentu.
“Syarikat produksi akan menjelaskan perkara sebenar nanti. Mereka meminta saya tidak mengulas lanjut kerana ia membabitkan banyak pihak. Jadi, buat masa ini saya tidak boleh berkongsi apa-apa,” katanya kepada BH Online.
Ditanya keadaannya selepas insiden itu, Amir hanya menjelaskan tubuh badan berasa sakit. Bagaimanapun, impaknya tidak seteruk rakan pelakon yang turut terbabit dalam kemalangan itu, iaitu Datuk Remy Ishak.
“Bukan saya cedera paling teruk, tetapi memang berlaku insiden serius ketika penggambaran. Saya alami luka dan rasa sakit pada leher, pipi dan kedua-dua belah kaki.
“Alhamdulillah, tiada tulang yang patah. Cuma kesakitannya memang terasa seperti kena belasah,” katanya.
Amir berkongsi emosinya juga terganggu apabila memori kemalangan itu kerap muncul kembali dalam fikiran.
“Tipulah kalau saya kata 100 peratus dalam keadaan baik. Namun, tidaklah sampai trauma untuk terus melakonkan babak aksi.
“Cuma apabila sambung penggambaran, ada rasa berpeluh dan gementar sedikit. Tetapi. saya kuatkan semangat untuk teruskan.
“Sebelum ini saya pernah patah jari, terseliuh dan terjatuh. Namun, insiden kali ini merupakan kecederaan paling serius pernah saya alami,” katanya. – BH Online –
IMedikel TV






