ANKARA: Kapal Ihsan ke-21 yang membawa muatan bantuan kemanusiaan daripada Bulan Sabit Merah Turkiye untuk Gaza tiba di El Arish, timur laut Mesir pada Sabtu selepas berlepas dari Mersin, Turkiye, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Memetik laporan Anadolu menerusi Harian Metro, bantuan dari Turkiye terus memasuki Gaza susulan pembukaan semula sebahagian pintu sempadan Rafah awal bulan ini setelah hampir dua tahun ditutup, sekali gus membolehkan peningkatan penghantaran bantuan kemanusiaan di tengah-tengah gencatan senjata yang sedang berlangsung.
Ketibaan kapal terbaharu itu membawa kira-kira 3,300 tan bantuan kemanusiaan, termasuk 175,000 bungkusan makanan serta barangan keperluan makanan, produk penjagaan diri, pakaian, bahan tempat perlindungan, air dan bekalan asas kehidupan yang lain.
Setibanya di El Arish, bahan bantuan itu telah diterima dan akan dipindahkan ke Gaza melalui pintu sempadan Rafah dengan penyelarasan bersama Bulan Sabit Merah Mesir.
Sejak 7 Oktober 2023, Bulan Sabit Merah Turkiye telah menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui inisiatif Kapal Ihsan.
Kumpulan bantuan itu kini memperkukuh rangkaian solidariti mereka melalui kerjasama dengan institusi awam dan sektor swasta.
Turkiye telah meningkatkan usaha untuk menghantar kontena ke wilayah berkenaan, terutamanya selepas pembukaan semula Pintu Sempadan Rafah pada 2 Februari lepas, dengan rancangan untuk menghantar 20,000 kontena fasa pertama ke Gaza. – BERNAMA-ANADOLU, HMetro Online –
IMedikel TV






