LOS ANGELES, AMERIKA SYARIKAT: Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian Jake Paul terpaksa menjalani pembedahan rahang kali kedua selepas tewas dengan pukulan knockout (KO) di tangan bekas juara heavyweight dunia Anthony Joshua, kata YouTuber yang kini menjadi peninju itu pagi tadi.
Kedua-dua lelaki itu bertemu dalam pertarungan kontroversi yang disokong Netflix pada Disember lalu, yang mana Joshua mengambil masa lebih untuk menundukkan lawan yang jauh kurang berpengalaman itu.
Pada pusingan keenam, Joshua memaksa Paul, 28, ke sudut sebelum melepaskan tumbukan kanan ke dagu yang menghantar lawannya jatuh ke atas kanvas.
Paul kemudian memaklumkan dalam catatan media sosial dia mengalami “patah rahang berganda” dan sudah menjalani pembedahan, namun semalam dia mendedahkan pembedahan tambahan diperlukan.
“Terpaksa jalani pembedahan rahang lagi. Skru dan plat mula longgar sebab kononnya saya tidak berehat selama dua bulan lalu…,” tulisnya di Instagram.
Pertarungan di Kaseya Center, Miami itu dilaporkan menyaksikan kedua-dua peninju berkongsi hadiah wang tunai sebanyak AS$184 juta (RM718.15 juta).
Namun aksi itu menerima kritikan meluas dalam dunia tinju, berikutan jurang besar dari segi fizikal dan kelas antara Joshua, bekas juara dunia dua kali dari Britain dengan Paul yang membina karier lumayan menerusi beberapa perlawanan tinju ‘novelty’.
Aksi hambar itu kadangkala bertukar kelakar apabila Paul berulang kali jatuh ke atas kanvas dan memaut kaki Joshua, sehingga pengadil Christopher Young menegur pada pusingan keempat: “Peminat tidak bayar untuk tengok benda karut ini.” – AFP, BH Online –
IMedikel TV






