Home Buletin Semasa HARGA JUADAH BERBUKA RM5 KE BAWAH, KERAJAAN PERLUASKAN 116 LOKASI BAZAR RAMADAN...

HARGA JUADAH BERBUKA RM5 KE BAWAH, KERAJAAN PERLUASKAN 116 LOKASI BAZAR RAMADAN RAHMAH

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperluaskan inisiatif Bazar Ramadan Rahmah (BRR) di seluruh negara bagi membantu rakyat berpendapatan rendah mendapatkan juadah berbuka puasa pada harga RM5 ke bawah.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, pada tahun ini sebanyak 116 lokasi bazar yang terlibat dalam pelaksanaan BRR sejak dianjurkan empat tahun lalu.

“Tujuan BRR ini diperluaskan adalah untuk membantu golongan berpendapatan rendah untuk mendapatkan juadah berbuka puasa pada harga berpatutan serta membantu menangani kos sara hidup mereka,” katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Fuziah berkata, di Johor terdapat sembilan lokasi BRR dengan kerjasama rakan strategik, pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya, kerajaan juga berusaha untuk mengumpul lebihan makanan yang tidak terjual sebelum waktu berbuka untuk disalurkan kepada golongan memerlukan melalui Program Ihsan Food Bank (i-FB).

”Inisiatif ini bagi menyelamatkan lebihan makanan di bazar Ramadan untuk diagihkan kepada golongan memerlukan melalui kerjasama PBT, pertubuhan sukarelawan dan komuniti setempat.

”Jelasnya, makanan dan minuman yang disumbangkan akan dikumpulkan di kanopi khas, ditimbang serta dilabel bagi tujuan pemantauan.

“Langkah ini bukan sahaja menyelamatkan makanan, malah membantu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

” Tahun lalu, lebih 69,000 kilogram makanan berjaya diselamatkan dengan nilai melebihi RM833,000, selain mengelakkan pelepasan kira-kira 129 kilogram gas rumah hijau ke alam sekitar,” katanya.

Fuziah menjelaskan inisiatif BRR dan Ihsan Foodbank Ramadan ini akan terus diperkukuh dengan pelbagai insentif dan kerjasama strategik agar manfaatnya dapat dirasai lebih meluas oleh rakyat.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here