Home Buletin Semasa POLIS GUNA DUA UNIT DRON PANTAU ALIRAN TRAFIK SEMPENA TAHUN BAHARU CINA

POLIS GUNA DUA UNIT DRON PANTAU ALIRAN TRAFIK SEMPENA TAHUN BAHARU CINA

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

TUMPAT: Polis Kelantan menggunakan dua unit dron bagi memantau aliran trafik di seluruh negeri sepanjang Op Selamat 25 yang berlangsung dari 15 hingga 20 Februari ini sempena Tahun Baharu Cina.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, sebanyak 42 lokasi hotspot kesesakan dan 67 kawasan blackspot kemalangan dikenal pasti bagi diberi tumpuan penguatkuasaan dan pemantauan.

“Setiap kali musim perayaan, laluan di Gua Musang, Kuala Krai dan Machang pasti mengalami peningkatan trafik.

“Kita melaksanakan kempen kesedaran dan keselamatan jalan raya bagi meminimumkan kemalangan serta memastikan kelancaran lalu lintas supaya pengguna dapat bergerak dengan selesa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Kesedaran dan Keselamatan Jalan Raya sempena Op Selamat 25 Tahun Baharu Cina di Pasir Pekan, hari ini.

Menurutnya, cuti bagi 30 pegawai dan 200 anggota trafik turut dibekukan sepanjang tempoh operasi bagi memastikan pemantauan dan kawalan trafik berjalan lancar.

Tambah beliau, tumpuan utama turut diberikan kepada laluan Gua Musang ke Kota Bharu yang dikenal pasti sering mengalami kesesakan ketika musim perayaan.

Dalam perkembangan sama, polis merekodkan 252 kes kemalangan dengan lapan kematian sepanjang Op Selamat 2024, manakala 228 kes kemalangan dan tiga kematian dicatatkan pada tahun lalu.

“Kita akan terus mempertingkatkan langkah pencegahan supaya statistik kemalangan dan kematian dapat dikurangkan.

“Kita juga bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta agensi lain bagi memastikan aspek keselamatan, kecemasan dan pengurusan trafik berada pada tahap optimum,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here