Home Buletin Semasa KPDN KELANTAN REKOD 140 KES SELEWENG BARANGAN KAWALAN HINGGA FEBRUARI TAHUN INI

KPDN KELANTAN REKOD 140 KES SELEWENG BARANGAN KAWALAN HINGGA FEBRUARI TAHUN INI

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

TUMPAT: Sebanyak 140 kes penyelewengan barangan kawalan direkodkan sepanjang tempoh Januari hingga Februari tahun ini dengan nilai rampasan lebih RM439,000.

Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Aswadi Jaafar berkata daripada jumlah itu sebanyak 91 kes membabitkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 membabitkan barangan kawalan dengan nilai rampasan kira-kira RM88,000.

“Manakala sebanyak 32 tangkapan termasuk 46 buah kenderaan disita dengan nilai RM204,600.

“Kes berkenaan berjaya dikesan hasil operasi bersepadu serta risikan berterusan yang dijalankan oleh anggota penguat kuasa KPDN di beberapa daerah sempadan dan laluan utama di Kelantan,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2026 di Pasar Raya Supermas di sini, hari ini.

Katanya modus operandi yang digunakan adalah dengan memindahkan petrol secara haram ke dalam bekas simpanan sebelum diedarkan kepada pihak yang tidak dibenarkan. 

“Petrol dan minyak masak antara penyelewengan barangan terkawal dengan rekod tertinggi diikuti gula,”katanya.

Dalam pada itu, Aswadi berkata pelaksanaan SHMMP di negeri ini bermula Jumaat lalu berjalan lancar tanpa sebarang aduan.

Beliau berkata pihaknya mendapati peniaga meletakkan tanda harga merah jambu serta menjual beberapa barangan kawalan pada harga lebih rendah daripada harga maksimum yang ditetapkan kerajaan.

“Kita lihat peniaga memang mematuhi peraturan yang ditetapkan dan meletakkan tanda harga yang betul.

“Kami juga mendapati peniaga meletakkan harga lebih rendah termasuk lobak merah import,”katanya.

Katanya sepanjang tempoh pelaksanaan SHMMP seramai 140 pegawai penguat kuasa serta 84 pegawai pemantau harga membuat pemantauan di seluruh negeri bagi memastikan peniaga mematuhi harga maksimum yang ditetapkaan serta mempamerkan tanda harga mengikut peraturan yang ditetapkan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here