Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
TUMPAT: Cubaan sindiket untuk menyeludup hampir dua tan minyak masak paket ke negara jiran gagal selepas kegiatan itu dihidu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan di kawasan sempadan di pangkalan haram Lan Bundle, Lubok Gong, Rantau Panjang, malam tadi.
Timbalan Pengarah KPDN Kelantan, Aswadi Jaafar berkata serbuan dijalankan pada 12.30 tengah malam semasa anggota penguat kuasa KPDN bersama Pasukan Polis Marin Wilayah 3 dan Pasukan Gerakan Am (PGA) mendapati sekumpulan lelaki sedang memunggah kotak minyak masak ke dalam perahu.
Beliau berkata serbuan tersebut dilakukan berdasarkan risikan dan maklumat orang awam.
“Kesemua suspek bertindak melarikan diri menggunakan perahu ke arah negara jiran sebaik mereka menyedari kehadiran pihak berkuasa.
“Pemeriksaan lanjut menemukan 500kilogram (kg) minyak masak paket ditinggalkan di tebing sungai manakala selebihnya yang ditinggalkan di dalam tiga kenderaan iaitu dua buah kereta jenis Proton Waja dan sebuah kereta Proton Wira Aerobak.
“Kesemua minyak masak paket seberat 1,983 kg bersama tiga kenderaan terbabit disita sebagai rampasan tanpa tuan selepas tiada individu tampil menuntut barangan berkenaan. Jumlah nilai rampasan sebanyak RM20,000,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2026 di Pasar Raya Supermas di sini, hari ini.
Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan siasatan lanjut sedang dijalankan oleh Bahagian Penguat Kuasa KPDN Cawangan Pasir Mas bagi mengenal pasti dalang serta rangkaian penyeludupan terbabit.
IMedikel TV






