Home Sukan WAN AZIZAH SOKONG MISI AKHIRI KEMARAU 34 TAHUN PIALA THOMAS

WAN AZIZAH SOKONG MISI AKHIRI KEMARAU 34 TAHUN PIALA THOMAS

122
0

KUALA LUMPUR: Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memberi sokongan penuh kepada badan induk itu dalam misi menamatkan penantian 34 tahun untuk kembali menjulang Piala Thomas, yang kali terakhir dimenangi Malaysia pada 1992 di Kuala Lumpur.

Memetik laporan Berita Harian, sokongan itu dizahirkan ketika lawatan beliau ke Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini, hari ini bagi bertemu pemain dan jurulatih kebangsaan selain menerima taklimat daripada pengurusan serta Ahli Majlis BAM.

Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata kehadiran isteri Perdana Menteri itu memberi suntikan moral besar kepada skuad negara yang sedang mempergiat persiapan menghadapi kejohanan-kejohanan utama tahun ini termasuk Piala Thomas.

“Hari ini kita diberi penghormatan menerima kehadiran Penaung BAM untuk mendengar taklimat pengurusan, sasaran serta kos operasi BAM.

“Kita turut membentangkan harapan dan sasaran tahun ini termasuk misi besar kita untuk Piala Thomas. Beliau menyatakan sokongan penuh dan komitmen untuk membantu BAM mencapai sasaran yang telah ditetapkan,” katanya ketika sidang media selepas sesi lawatan itu.

Menurutnya, antara perkara yang dibincangkan adalah keperluan mendapatkan lebih banyak sokongan daripada sektor swasta bagi memperkukuh kewangan serta memastikan program pembangunan dan persiapan pasukan berjalan lancar.

“Kita ada berbincang mengenai kos operasi dan jangkaan untuk mendapatkan lebih sokongan daripada sektor swasta. Penaung menyatakan kesediaan untuk memberi sokongan dan bimbingan supaya kita bukan saja capai sasaran, malah memastikan nilai yang betul diterapkan dalam kalangan pemain dan pengurusan,” katanya.

Mengulas peluang Malaysia menjulang Piala Thomas, Tengku Zafrul mengakui cabaran sukar menanti, khususnya dalam acara perseorangan lelaki, namun yakin kombinasi pemain berpengalaman dan bakat muda mampu menghadirkan kejutan.

“Kita memang meletakkan sasaran tinggi. Secara realistik, kita sedar ada cabaran terutama dalam perseorangan lelaki berbanding beregu yang lebih konsisten.

“Namun kita sedang merangka strategi terbaik dari segi teknikal, fizikal dan mental bagi memastikan pasukan berada pada tahap optimum apabila kejohanan bermula,” katanya.

Piala Thomas 2026 akan berlangsung di Horsens, Denmark dari 24 April hingga 3 Mei ini. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here