Home Luar Negara TRUMP PERTIMBANG HANTAR KAPAL PENGANGKUT PESAWAT KEDUA KE TIMUR TENGAH

TRUMP PERTIMBANG HANTAR KAPAL PENGANGKUT PESAWAT KEDUA KE TIMUR TENGAH

149
0

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata, beliau sedang mempertimbangkan untuk menghantar kapal pengangkut pesawat kedua ke Timur Tengah.

Kenyataan itu dibuat Selasa lalu ketika Washington dan Tehran bersiap-sedia menyambung semula rundingan bagi mengelakkan konflik baharu.

Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, difahamkan, Oman menjadi pengantara rundingan antara Iran dan AS pada minggu lalu, membolehkan Tehran menilai keseriusan Washington.

Rundingan itu berlaku selepas Trump menempatkan satu kapal pengangkut pesawat di rantau berkenaan, menimbulkan kebimbangan tindakan ketenteraan baharu.

Dalam temu bual dengan media Israel, Trump berkata, AS perlu melakukan sesuatu yang sangat tegas jika tiada perjanjian dicapai dengan Iran.

Bagaimanapun, tarikh dan lokasi rundingan seterusnya antara AS dan Iran masih belum diumumkan.

Dalam pada itu, Trump berkata, USS George Washington dan USS George HW Bush adalah calon kapal pengangkut pesawat yang berkemungkinan dihantar ke Timur Tengah.

Jurucakap kementerian luar Iran, Esmaeil Baghaei pula berkata, rundingan awal menunjukkan pemahaman dan persetujuan untuk meneruskan proses diplomatik.

Menurut media sama, harga minyak menurun apabila pedagang terus menumpukan perhatian kepada ketegangan Iran – AS.

AS mahu memperluas rundingan dengan Iran bagi mengekang program peluru berpandu balistik Tehran, tetapi Iran menegaskan stok peluru berpandunya tidak boleh dirunding.

Sementara itu, Presiden Iran, Masoud Pezeshkian pula berkata, dalam sebarang rundingan, Iran akan terus menuntut penghapusan sekatan kewangan dan menekankan hak nuklearnya termasuk aspek pengayaan.

Bagaimanapun, Naib Presiden AS, JD Vance, menegaskan keputusan mengenai pengayaan uranium dan garis merah dalam rundingan bergantung kepada Trump.

Iran dan AS mengadakan lima pusingan rundingan tahun lalu mengenai pengekangan program nuklear Tehran, dengan proses itu terhenti terutamanya kerana pertikaian mengenai pengayaan uranium di dalam Iran.

Sejak Trump menyerang fasiliti Iran, Tehran berkata, ia sudah menghentikan aktiviti pengayaan sambil menegaskan program nuklearnya adalah semata-mata untuk tujuan aman. – REUTERS, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here