Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merancang melaksanakan pusat tahanan vesel (PTV) bagi menempatkan bot yang dirampas.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, cadangan pembinaan PTV di Sungai Semerak itu membabitkan kawasan kira-kira 0.2 hektar.
“PTV ini berfungsi untuk menempatkan bot yang dirampas dan mampu menempatkan enam hingga lapan vesel malah sehingga 10 vesel bergantung kepada saiz.
“PTV ini adalah tempat yang sama kami gunakan bagi menempatkan vesel yang ditahan sebelum ini, cuma buat masa sekarang kami menyewa.
“Sekarang pemilik tanah bersetuju untuk jual dan kami lihat lokasi itu strategik dan sesuai untuk menempatkan vesel yang ditahan sebelum proses pelupusan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas antara Pengarah APMM Kelantan yang baharu, Kepten Maritim Kamal Mohamad dan penyandang sebelum ini, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi di Ibu Pejabat Maritim Kelantan di sini hari ini.
Katanya kos PTV di Sungai Semerak, Tok Bali itu menelan kos sekitar RM2 hingga RM3 juta.
Dalam perkembangan lain beliau berkata Maritim Malaysia merancang pembinaan Pejabat Maritim Pengkalan Kubor dengan keluasan kira-kira dua hektar dengan anggaran kos tanah lebih kurang RM5 juta.
“Kos pejabat itu adalah RM232 juta merangkumi pembinaan pejabat, jeti sepanjang kira-kira 200 meter, kuarters anggota serta kemudahan lokap.
“Ia dijangka mengambil tempoh kira-kira tiga tahun,”katanya.
Katanya dua projek itu masih berada pada peringkat awal yang sudah dipersetujui di peringkat Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk dibawa ke Rolling Plan 2.
IMedikel TV





