Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengingatkan semua bengkel pembaikan kenderaan kemalangan berdaftar supaya menjalankan kerja pembaikan mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, pihaknya melaksanakan Operasi Khas Bengkel Pembaikan Kenderaan Kemalangan selaras dengan Pelan Inisiatif Bahagian Kejuruteraan Automotif 2025-2030.

“Operasi selama tiga hari bermula 8 Februari hingga hari ini adalah langkah awal berbentuk amaran selama 14 hari kepada bengkel terlibat.
“Selepas tempoh ini, pemeriksaan mengejut akan dilakukan dari semasa ke semasa dan tindakan tegas akan diambil sekiranya bengkel masih gagal mematuhi spesifikasi ditetapkan.
“Kita tidak mahu bengkel hanya mematuhi spesifikasi semata-mata untuk memperbaharui lesen, sebaliknya mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) sejak awal,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Operasi Khas berkenaan di sebuah bengkel di sini, hari ini.
Menurutnya, sepanjang operasi itu, enam bengkel dipilih secara rawak untuk pemeriksaan membabitkan kawasan Tanah Merah dan Kota Bharu.
Hasil pemeriksaan mendapati beberapa kesalahan dilakukan antaranya kegagalan menggunakan Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE), pengurusan bahan buangan berjadual yang tidak sistematik serta merokok ketika kerja pembaikan dijalankan dan sebagainya.

Mohd Misuari berkata, JPJ mengawal selia 10 komponen utama pembaikan termasuk panel penutup, rumah roda dalaman hadapan dan belakang, pengukuhan panel bumbung, tiang dalaman hadapan, tengah dan belakang, anggota casis belakang serta kerangka casis.
Operasi itu turut disertai Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), dan tindakan boleh dikenakan oleh agensi terlibat sekiranya kesalahan berterusan dikesan.
“Sehingga kini, terdapat 33 bengkel pembaikan kenderaan kemalangan berdaftar di Kelantan,” katanya.
IMedikel TV





