Home Luar Negara META, GOOGLE BERDEPAN PERBICARAAN JURI AS DALAM KES KETAGIHAN MEDIA SOSIAL

META, GOOGLE BERDEPAN PERBICARAAN JURI AS DALAM KES KETAGIHAN MEDIA SOSIAL

220
0

LOS ANGELES: Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian Meta dan YouTube milik Google berdepan perbicaraan juri di Mahkamah California berhubung dakwaan platform media sosial mereka direka bagi mewujudkan ketagihan, khususnya dalam kalangan kanak-kanak.

Perbicaraan berprofil tinggi di hadapan juri di Los Angeles itu berpotensi mewujudkan duluan undang-undang sama ada gergasi media sosial sengaja mereka bentuk platform mereka untuk menyebabkan ketagihan dalam kalangan kanak-kanak.

Prosiding itu dijangka menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Meta, Mark Zuckerberg, memberi keterangan minggu depan, sementara Ketua Instagram, Adam Mosseri, dijangka hadir di mahkamah seawal Rabu.

Selain Instagram, platform Meta juga termasuk Facebook dan WhatsApp.

“Kes ini membabitkan dua daripada syarikat terkaya dalam sejarah yang sudah merekayasa ketagihan dalam otak kanak-kanak.

“Kes ini semudah A-B-C,” kata peguam plaintif, Mark Lanier, kepada juri dalam kenyataan pembukaannya, sambil menyusun blok mainan kanak-kanak yang tertera huruf itu.

Beliau berkata, A merujuk kepada ‘addicting’ (ketagihan), B adalah ‘brains’ (otak) dan C adalah ‘children’ (kanak-kanak).

“Mereka bukan sekadar membina aplikasi, mereka membina perangkap,” kata Lanier, sambil menuduh Meta dan YouTube mengamalkan ketagihan melalui reka bentuk di platformnya itu.

Perbicaraan itu dianggap sebagai kes penanda aras kerana keputusannya boleh mempengaruhi ratusan saman lain yang difailkan di seluruh Amerika Syarikat (AS) terhadap syarikat media sosial.

Syarikat media sosial itu berdepan ratusan saman yang menuduh mereka mengakibatkan pengguna muda menjadi ketagih kandungan, sekali gus mengalami kemurungan, gangguan pemakanan, kemasukan ke hospital psikiatri, malah bunuh diri.

Peguam plaintif meminjam strategi yang digunakan pada 1990-an dan 2000-an terhadap industri tembakau, yang ketika itu berdepan serangan saman serupa kerana didakwa menjual produk berbahaya secara sedar.

Perbicaraan di hadapan Hakim Carolyn Kuhl itu menumpukan kepada dakwaan bahawa seorang wanita berusia 20 tahun yang dikenali sebagai Kaley GM mengalami kemurungan mental yang teruk akibat ketagihan media sosial sejak kecil.

“Ini kali pertama sebuah syarikat media sosial dibicarakan di hadapan juri atas dakwaan mencederakan kanak-kanak,” kata Pengasas Social Media Victims Law Center, Matthew Bergman, yang sudah mengendalikan lebih 1,000 kes seumpamanya.

Pusat itu adalah sebuah pertubuhan undang-undang yang menyasarkan syarikat media sosial yang didakwa mereka mencetuskan kemudaratan terhadap golongan muda.

Snapchat dan TikTok turut dinamakan sebagai defendan dalam saman itu, namun sudah mencapai penyelesaian sebelum perbicaraan bermula, dengan terma penyelesaian tidak didedahkan.

Beberapa saman lain terhadap platform media sosial, termasuk yang difailkan oleh daerah sekolah, kini sedang dibicarakan di mahkamah persekutuan dan negeri di seluruh negara.

Satu lagi saman berasingan terhadap Meta, yang difailkan di New Mexico, turut menuduh syarikat itu mengutamakan keuntungan berbanding keselamatan pengguna muda.

“Siasatan kami terhadap platform media sosial Meta menunjukkan ia bukan ruang selamat untuk kanak-kanak.

“Sebaliknya, ia menjadi lokasi utama bagi pemangsa memperdagangkan pornografi kanak-kanak dan memujuk kanak-kanak untuk tujuan seks,” kata Peguam Negara New Mexico, Raul Torrez, dalam satu kenyataan.

Meta bagaimanapun menafikan semua dakwaan dan menyatakan akan membela diri di mahkamah. – AFP, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here