Home Buletin Semasa PAK DIN DITEMUI TERLANTAR, TIDAK TERURUS – ABBE HAE

PAK DIN DITEMUI TERLANTAR, TIDAK TERURUS – ABBE HAE

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Badan bukan kerajaan (NGO) Jejak Jalanan mendedahkan keadaan menyayat hati seorang warga emas dikenali sebagai Pak Din, 61, yang ditemui terlantar dan tidak terurus di kediamannya di Kampung Bunut Susu, Pasir Mas, di sini.

Aktivis yang dikenali sebagai Abbe Hae berkata, kes Pak Din dikenal pasti selepas pihaknya menerima maklumat daripada penghulu serta pihak polis berhubung seorang warga emas yang memerlukan perhatian segera.


“Pada peringkat awal, maklumat diterima tanpa gambar, namun keadaan sebenar hanya diketahui selepas wakil penduduk kampung menghantar gambar keadaan Pak Din kepada saya semalam.

“Selepas menerima gambar daripada penduduk kampung, saya terus pergi ke rumah Pak Din untuk melihat sendiri keadaan Pak Din di kediamannya hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Pertubuhan Kebajikan dan Sukarelawan Kelantan di Min Camp House, Kubang Kerian, di sini.

Abbe Hae berkata, ketika ditemui, Pak Din yang dipercayai diserang angin ahmar sejak lima tahun lalu berada dalam keadaan fizikal yang sangat lemah dengan pergerakan tangan dan kaki yang terbatas.

“Pak Din ditemui dalam keadaan tidak terurus dan dipenuhi najis, dengan persekitaran rumah yang kotor serta memerlukan bantuan segera untuk membersihkan diri.


“Beberapa jiran ada membantu memandikan Pak Din, namun keadaannya memerlukan penjagaan rapi kerana beliau tidak mampu berdiri atau bergerak sendiri,” katanya.

Menurut Abbe Hae, Pak Din mempunyai empat orang anak, namun sebahagian daripada mereka bekerja di luar Kelantan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Che Samsuzuki Che Noh berkata, Pak Din sudah menerima Bantuan Pesakit Terlantar (BPT) daripada JKM sebanyak RM500 sebulan.

Katanya sebarang aduan boleh menghubungi Talian Kasih di talian 15999 atau terus ke pejabat JKM daerah berdekatan.

IMedikel TV


LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here