Home Buletin Semasa STAM 2025: 9 PELAJAR RAIH 10 MUMTAZ, 68 PELAJAR MUMTAZ KESELURUHAN

STAM 2025: 9 PELAJAR RAIH 10 MUMTAZ, 68 PELAJAR MUMTAZ KESELURUHAN

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2025 di negeri ini mencatat pencapaian membanggakan apabila sembilan calon mencapai keputusan terbaik 10 Mumtaz, manakala 68 calon mencatat pangkat Mumtaz.

Menurut Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan, Kamaruzaman Mohamad, keputusan itu menunjukkan peningkatan sebanyak 9.25 peratus.

“Pencapaian terbaik 10 Mumtaz semua mata pelajaran peringkat Yayasan Islam kelantan (YIK) ialah seramai sembilan calon.

“Manakala pencapaian kecemerlangan pangkat Mumtaz (Cemerlang) seramai 68 calon berbanding 51 calon tahun 2024.

“Pencapaian  pangkat Jayyid Jiddan (Amat Baik) seramai 189 calon tahun 2025 berbanding 161 calon tahun 2024,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman keputusan peperiksaan STAM 2025 di Kompleks YIK, Tunjong, di sini, hari ini.

Beliau yang mewakili Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan, Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, pencapaian peringkat Jayyid (Baik) seramai 276 calon berbanding 266 calon tahun 2024.

“Pencapaian pangkat Maqbul (Lulus) seramai 76 calon berbanding 42 calon tahun 2024,”katanya.

Katanya seramai 906 calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2025 daripada 25 pusat peperiksaan berbanding 897 calon pada 2024.

Jelasnya daripada jumlah calon tersebut, seramai 609 pelajar atau 67.22 peratus memperolehi lulus peperiksaan iaitu sekurang-kurangnya pangkat Maqbul (Lulus) untuk 10 mata pelajaran yang diduduki dalam peperiksaan itu.

Katanya bagi pencapaian gred purata peringkat YIK menunjukkan peningkatan daripada 3.19  tahun 2024 kepada 3.10 tahun 2025.

Jelasnya pencapaian lulus mengikut bilangan kertas juga menunjukkan peningkatan iaitu 86.70 peratus berbanding 84.39 peratus tahun 2024.

“Berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS), Maahad Tahfiz al-Quran Wal Qiraat memperolehi 1.63 diikuti Maahad Muhammadi Perempuan, 2.39 dan Maahad Muhammadi Lelaki, 2.47,”katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Kurikulum YIK, Rosdi Zakaria berkata peningkatan keputusan tahun lalu hasil daripada usaha berterusan yang dilaksanakan termasuk penganjuran bengkel penggubalan soalan bagi mata pelajaran kritikal.

“Selepas penggubalan soalan, kita melaksanakan pemurnian daripada soalan dan seterusnya mengadakan muzakarah atau perbincangan bersama guru-guru terpilih dengan fokus kepada sekolah-sekolah tertentu yang dikenal pasti berpotensi meningkatkan pencapaian.

“Selain itu, kita juga menganjurkan program Mukhayam Asyratul Kamilah selama lima hari membabitkan 200 calon terbaik dari sekolah-sekolah, iaitu 100 pelajar lelaki dan 100 pelajar perempuan,”katanya.

Jelasnya hasil daripada pendekatan tersebut menunjukkan perbezaan ketara apabilaa jumlah calon gagal (Rasib) berjaya dikurangkan seramai 88 calon berbanding tahun sebelumnya.

“Tahun 2024 seramai 385 calon gagal, namun tahun lalu jumlah tersebut berjaya dikurangkan kepada 297 calon,”katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here