RIYADH: Cristiano Ronaldo dilapor mempertimbangkan langkah mengejut untuk meninggalkan Al-Nassr pada musim panas ini tetapi kelab yang mahu menandatanganinya perlu membayar yuran tinggi.
Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, penyerang berusia 41 tahun itu difahamkan kini sedang mogok di Al-Nassr kerana tidak berpuas hati dengan pengurusan di belakang tabir.
Ronaldo marah dengan layanan istimewa yang dikatakan diberikan oleh Dana Pelaburan Awam (PIF) kepada kelab pesaing dalam Liga Pro Saudi (RSL) sepanjang jendela perpindahan musim sejuk.
Al-Nassr hanya menandatangani seorang pemain bulan lalu iaitu pemain tengah berusia 21 tahun, Haydeer Abdulkareem walaupun jurulatih Jorge Jesus meminta lebih ramai pemain baharu dibawa masuk.
Ronaldo membuat bantahan dan kemudiannya enggan bermain dalam aksi RSL menentang Al-Riyadh kelmarin.
Laporan media Portugal, Record kini mendakwa dia sedang mempertimbangkan untuk berpindah.
Legenda Real Madrid itu dikatakan mempunyai klausa pelepasan bernilai £43 juta (RM231 juta) dalam kontraknya, yang diselitkan ketika menandatangani perjanjian dua tahun pada musim panas lalu.
Masih belum pasti kelab mana yang akan cuba mengaktifkan klausa itu. Gaji Ronaldo juga mungkin menjadi isu besar buat mana-mana kelab yang berminat.
Ronaldo kini merupakan pemain bola sepak dengan gaji paling tinggi di dunia, memperoleh kira-kira £488,000 (RM2.63 juta) sehari.
Penyerang itu, yang sudah menjaringkan 18 gol dalam 22 penampilan musim ini, memberi petanda kemungkinan kembali ke Eropah pada Disember lalu.
“Semangat saya tinggi dan saya mahu terus bermain. Tidak kira di mana, sama ada di Timur Tengah atau Eropah.
“Saya sentiasa menikmati bola sepak dan mahu terus bermain. Saya pasti akan capai angka 1,000 gol, jika tidak cedera,” katanya.
Kini Ronaldo mengumpul 960 gol sepanjang kariernya. – AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






