Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan mendapati berlakunya pelanggaran syarat lesen hiburan dan garis panduan yang ditetapkan semasa konsert penutup program Makar Fest XL, di Tunjung, Sabtu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Kelantan, YB Hilmi Abdullah berkata, siasatan mendapati penganjur gagal mematuhi beberapa syarat utama lesen hiburan, termasuk kawalan penonton dan pengurusan keselamatan, sehingga mencetuskan situasi tidak terkawal.
“Pelanggaran tersebut dikesan semasa persembahan Kugiran Masdo sekitar jam 10.30 malam di tapak parkir Mydin Mall Tunjung, apabila berlaku aksi penonton menari dan melompat yang tular menerusi rakaman video berdurasi kira-kira 40 saat di media sosial.
“Walaupun pihak penguat kuasa telah berjaya mengeluarkan beberapa orang penonton yang membuat provokasi serta kumpulan penonton yang didapati telah melanggar garis panduan hiburan namun keadaan tidak berjaya dikawal oleh penganjur serta masih berulang,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Hilmi berkata, pemeriksaan lanjut turut mendapati berlakunya percampuran pengunjung lelaki dan wanita tanpa penempatan petugas keselamatan mencukupi seperti yang disyaratkan dalam lesen hiburan.
“Hasil penelitian terhadap laporan bertulis Pengarah Bahagian Perlesenan dan Kawalan Perniagaan serta bahan rakaman yang diviralkan, Pegawai Pelesen mengesahkan penganjur telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 13(1) Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Kelantan) 2025 serta gagal mematuhi syarat lesen serta Garis Panduan Hiburan dan Sukan Negeri Kelantan 2025.
“Susulan pelanggaran ini, wang cagaran penganjur berjumlah RM8,000 telah dirampas. Penganjur juga boleh dikenakan penalti maksimum sehingga RM30,000 serta berisiko disenarai hitamkan sekiranya gagal menjelaskan kompaun yang dikenakan,” katanya.
Dalam pada itu, Hilmi berkata, amat memahami dan meraikan keperluan rakyat untuk berhibur bahkan amat menyokong sebarang penganjuran program atau festival makanan yang dapat menjana pendapatan kepada peniaga kecil disamping turut mempromosikan negeri Kelantan sebagai lokasi pelancongan bertemakan “Food, Family, Festival”.
“Namun Kerajaan Negeri juga amat konsisten dalam memastikan bahawa adab, budaya dan akhlak khususnya generasi muda mesti dijaga dan dipelihara.
“Kerajaan Negeri akan terus menyokong sebarang penganjuran festival makanan oleh mana-mana penganjur pada masa hadapan dengan pematuhan kepada peraturan dan garis panduan hiburan yang diterima pakai oleh Pihak Berkuasa Tempatan di seluruh negeri Kelantan,”katanya.
IMedikel TV






