LONDON: Pemain tengah Arsenal, Mikel Merino akan menjalani pembedahan susulan kecederaan kaki yang dialami ketika kalah 2-3 di tangan Manchester United dua minggu lalu, menurut kelab itu semalam.
Pemain Sepanyol itu tidak beraksi ketika Arsenal menang 4-0 ke atas Leeds United kelmarin dan kelab utara London itu berkata, Merino akan diketepikan dalam satu tempoh yang belum pasti, selepas reviu perubatan mengesahkan kecederaan satu tulang di kaki kanannya.
“Mikel akan menjalani pembedahan dalam beberapa hari lagi dan kemudian memulakan program pemulihan dan rehab,” menurut Arsenal dalam satu kenyataan di laman sesawangnya.
“Mikel dijangka tidak akan beraksi bagi satu tempoh yang dilanjutkan, dengan sasaran untuk kembali menjalani latihan penuh sebelum musim berakhir.”
Arsenal, yang menghuni tangga teratas Liga Perdana Inggeris dengan 53 mata daripada 24 perlawanan, akan menentang Chelsea pada aksi separuh akhir kedua Piala Liga awal pagi Rabu ini, sebelum berdepan Sunderland pada Sabtu. – REUTERS, BH Online –
IMedikel TV






