KUALA LUMPUR: Perjalanan Selangor FC dalam Kejuaraan Kelab Asean (ACC) masih belum selamat biarpun mudah membenam kelab Vietnam, Cong An Hanoi 2-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di Kelana Jaya, malam tadi.
Memetik laporan Harian Metro, perkara itu disuarakan ketua pasukan Red Giants, Faisal Halim yang menyeru agar rakan sepasukannya tidak terleka dengan prestasi semasa.
Faisal yang mesra dengan panggilan Mickey akui kemenangan ke atas Cong An Hanoi penting khususnya dalam melonjakkan lagi semangat pasukan untuk tampil lebih cemerlang selepas ini.
“Ini adalah perlawanan yang dianggap seperti aksi penentuan buat pasukan Selangor. Tiga mata ini cukup penting buat pasukan (dalam misi lolos ke separuh akhir).
“Saya harap rakan-rakan sepasukan tidak leka kerana kita ada satu lagi perlawanan yang akan mengesahkan kemaraan pasukan nanti,” katanya selepas tamat perlawanan.
Dalam aksi itu, dua gol tuan rumah dijaringkan Faisal sendiri masing-masing di minit 60 dan 69.
Kejayaan mengutip tiga mata penuh itu menyaksikan Selangor FC kini memimpin carta Kumpulan A dengan lapan mata.
Anak didik Kim Pan-gon hanya memerlukan keputusan seri dalam aksi terakhir kumpulan menentang BG Pathum United pada 4 Februari depan, bagi mengesahkan kedudukan selaku dua pasukan terbaik untuk mara ke separuh akhir.
Dalam perkembangan lain, Faisal enggan termakan dengan pujian ramai pihak selepas mempamerkan prestasi konsisten apabila 17 gol dalam semua kejohanan pada musim ini.
“Saya hanya berikan yang terbaik buat Selangor pada setiap perlawanan. (Tidak kisah) sekiranya saya jaringkan gol atau tidak yang penting pasukan dapat melakar kemenangan dan ini adalah hadiah penyokong kami,” katanya. – HMetro Online –
IMedikel TV






