Home Luar Negara BAHAN PERSEKOLAHAN DAPAT MASUK KE GAZA SELEPAS DISEKAT SELAMA 2 TAHUN

BAHAN PERSEKOLAHAN DAPAT MASUK KE GAZA SELEPAS DISEKAT SELAMA 2 TAHUN

160
0

GENEVA: Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menyatakan pada Selasa lalu bahawa buat pertama kali dalam tempoh dua setengah tahun, pihaknya berjaya menghantar kit sekolah bersama bahan pembelajaran ke Gaza selepas sebelum ini disekat oleh pihak berkuasa Israel.

Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, ribuan kit termasuk pensel, buku latihan dan bongkah kayu permainan kini memasuki enklaf berkenaan, kata UNICEF.

“Dalam beberapa hari kebelakangan ini, kami membawa masuk ribuan kit rekreasi dan ratusan kit sekolah. Kami sedang berusaha untuk membawa masuk 2,500 lagi kit sekolah pada minggu depan kerana ia sudah diluluskan,” kata jurucakap UNICEF, James Elder.

Penyelaras Aktiviti Kerajaan di Wilayah-Wilayah (COGAT) iaitu badan tentera Israel yang memantau aliran bantuan ke Gaza, tidak segera memberikan maklum balas terhadap permintaan untuk ulasan.

Elder berkata, kanak-kanak di Gaza menghadapi serangan yang belum pernah berlaku terhadap sistem pendidikan termasuk sekatan terhadap kemasukan beberapa bahan bantuan seperti buku sekolah dan pensel.

Keadaan itu memaksa guru mengajar dengan sumber yang terhad, manakala kanak-kanak pula terpaksa belajar di dalam khemah tanpa cahaya pada waktu malam.

Sepanjang konflik itu, sebahagian kanak-kanak tercicir sepenuhnya daripada pendidikan kerana terpaksa menghadapi cabaran asas seperti mendapatkan air, di samping masalah kekurangan zat makanan yang meluas di tengah-tengah krisis kemanusiaan besar.

“Ia adalah tempoh dua tahun yang panjang bagi kanak-kanak dan organisasi seperti UNICEF untuk cuba meneruskan pendidikan tanpa bahan-bahan berkenaan. Nampaknya kami akhirnya melihat perubahan yang sebenar,” kata Elder.

UNICEF kini mempertingkatkan sokongan pendidikan bagi membantu separuh daripada kanak-kanak usia sekolah di Gaza iaitu kira-kira 336,000 orang dengan bantuan pembelajaran. – REUTERS, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here