Home Sukan SCHUMACHER DILAPORKAN TIDAK LAGI TERLANTAR, BOLEH DUDUK DI KERUSI RODA

SCHUMACHER DILAPORKAN TIDAK LAGI TERLANTAR, BOLEH DUDUK DI KERUSI RODA

183
0

LONDON: Legenda Formula Satu (F1), Michael Schumacher yang cedera parah dalam kemalangan ski ngeri 12 tahun lalu, kini tidak lagi terlantar di katil, menurut pendedahan Daily Mail.

Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, pemulihan perlahan ikon Jerman berusia 57 tahun itu selama ini menjadi rahsia yang sangat dijaga rapi, hanya diketahui oleh ahli keluarga terdekat dan segelintir rakan yang dipercayai.

Namun, dalam pendedahan eksklusif di Daily Mail+, sumber yang rapat dengannya berkata, dia kini boleh duduk di atas kerusi roda dan boleh ditolak mengelilingi estet bernilai £30 juta (RM162.95 juta) miliknya di Majorca serta kediamannya bernilai £50 juta (RM271.59 juta) di Gland, di tepi Tasik Geneva.

Dia dijaga oleh Corinna, isterinya selama 30 tahun, bersama sekumpulan jururawat dan ahli terapi yang memantaunya 24 jam sehari, dengan kos mencecah puluhan ribu pound seminggu.

Privasi Schumacher dianggap amat penting. Sejak mengalami kerosakan otak selepas terhempas ke batu berhampiran pusat peranginan Alps Perancis di Meribel, dia terus dijauhkan daripada pandangan umum.

Cubaan oleh beberapa bekas kakitangan untuk menjual gambar dirinya dalam keadaan uzur membawa kepada sabitan kesalahan terhadap mereka tahun lalu.

Laporan dia akan menghadiri perkahwinan anak perempuannya, Gina, pada 2024 didapati tidak berasas.

Satu khabar angin mendakwa lelaki yang digelar atlet bilionair pertama itu mengalami pseudokoma atau sindrom terkunci, iaitu keadaan apabila pesakit sedar dan sepenuhnya peka, tetapi tidak mampu memberi tindak balas selain berkelip.

Namun, beberapa sumber mengesahkan bahawa gambaran suram itu tidak tepat.

“Perasaannya ialah dia memahami sebahagian perkara yang berlaku di sekelilingnya, tetapi mungkin bukan semuanya,” kata salah seorang sumber. – AGENSI, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here