OKLAHOMA: Seorang remaja ditahan selepas dipercayai menikam mati abangnya akibat kemarahan ketika bermain permainan video di rumah mereka di Del City, Oklahoma, Amerika Syarikat (AS), lapor Mirror UK.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, William Spencer, 19, kini menghadapi pertuduhan membunuh tahap pertama berhubung kematian abangnya, Nicholas Spencer, 25, yang ditemui polis dengan kecederaan tikaman serius.
Polis dari Jabatan Polis Bandar Oklahoma (OCPD) dipanggil ke kediaman itu pada 18 Januari lalu, susulan laporan mengenai kejadian tikaman domestik.
Dalam satu kenyataan media, OCPD berkata, penyiasat di lokasi kejadian mendapati kedua-dua abang-beradik itu sedang bermain permainan video sebelum William didakwa menjadi marah dan menikam Nicholas hingga mati.
Sarjan Kanan OCPD, Rob Robertson berkata, individu yang membuat laporan awal menghubungi perkhidmatan polis dan memaklumkan, mereka ‘baru sahaja menikam abangnya’.
“Pegawai polis yang tiba di lokasi menemui Nicholas dengan kecederaan tikaman yang serius dan mangsa dibawa ke hospital, di mana dia disahkan meninggal dunia.
“William ditangkap di lokasi kejadian, disoal siasat dan kemudiannya didaftarkan ke dalam penjara atas aduan membunuh,” katanya.
Sementara itu, Sarjan Kanan, Gary Knight pula berkata, kejadian itu adalah ‘kisah yang sangat tragik’, di mana seorang adik menjadi marah semasa bermain permainan video dan menikam abangnya hingga mati.
Bagaimanapun, polis tidak mendedahkan jenis permainan yang dimainkan atau sama ada ibu bapa mereka berada di rumah ketika kejadian.
Susulan itu, William dilaporkan tinggal di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Pusat Tahanan Daerah Oklahoma.
Suspek juga dilaporkan mengaku menikam abangnya dan kini ditahan di Penjara Daerah Oklahoma dengan ikat jamin sebanyak AS$10 juta (kira-kira RM40.06 juta).
Kesnya akan didengar di mahkamah pada tarikh yang belum didedahkan, sementara OCPD mengeluarkan rayuan kepada orang ramai untuk menghubungi Talian Petunjuk Pembunuhan jika mempunyai maklumat berkaitan. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






