Home Luar Negara SERANGAN DRON ISRAEL BUNUH DUA KANAK-KANAK KUTIP KAYU API DI GAZA

SERANGAN DRON ISRAEL BUNUH DUA KANAK-KANAK KUTIP KAYU API DI GAZA

179
0

GAZA: Dua kanak-kanak terbunuh dalam serangan Israel di utara Gaza, kes terbaharu yang disifatkan sebagai satu lagi pelanggaran perjanjian gencatan senjata dengan Hamas di wilayah Palestin itu.

Sumber perubatan di Gaza pada Sabtu memaklumkan, kedua-dua kanak-kanak daripada keluarga yang sama terbunuh apabila sebuah dron Israel menyerang orang awam yang sedang mengumpul kayu api berhampiran Hospital Kamal Adwan di utara Gaza.

Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, Hospital Al-Shifa di wilayah itu mengesahkan menerima dua mayat berkenaan, sambil menyatakan mangsa ialah dua kanak-kanak lelaki berusia 13 dan 15 tahun.

Bagaimanapun, tentera Israel mendakwa pasangan itu menimbulkan ‘ancaman segera’ kepada anggotanya.

“Terdahulu hari ini… tentera yang beroperasi di utara Semenanjung Gaza mengenal pasti beberapa pengganas yang melintasi Garisan Kuning.

“Mereka menanam bahan letupan di kawasan berkenaan dan menghampiri pasukan tentera, sekali gus menimbulkan ancaman segera kepada mereka.

“Susulan itu, (tentera udara Israel) melancarkan serangan dan menumpaskan pengganas berkenaan bagi menghapuskan ancaman,” menurut kenyataan tentera.

Seorang pegawai perhubungan tentera memberitahu AFP bahawa pasukan mereka ‘membunuh dua pengganas dan bukan kanak-kanak’, tanpa memperincikan usia mangsa yang terkorban.

Di bawah gencatan senjata yang diusahakan Amerika Syarikat (AS) dan berkuat kuasa pada 10 Oktober, tentera Israel sepatutnya berundur ke kedudukan di belakang apa yang dikenali sebagai ‘Garisan Kuning’ di Gaza, namun masih menguasai lebih separuh wilayah berkenaan.

Agensi pertahanan awam pula memaklumkan satu lagi kematian dilaporkan dalam insiden berasingan apabila sebuah dron kuadkopter Israel menyerang sekumpulan orang awam di Jabalia, juga di utara Gaza, namun tidak memberikan butiran lanjut mengenai mangsa.

Dalam perkembangan berkaitan pada Sabtu, Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza memaklumkan jumlah kematian kanak-kanak akibat cuaca sejuk sejak bermulanya musim sejuk semasa meningkat kepada 10 orang, susulan kematian seorang lagi bayi.

“Kanak-kanak itu, Ali Abu Zour berusia tiga bulan, meninggal dunia akibat kesejukan melampau di Hospital Syuhada Al-Aqsa,” menurut kenyataan kementerian berkenaan, tanpa menyatakan tarikh kematian.

Katanya, kematian itu meningkatkan jumlah kanak-kanak yang maut akibat cuaca sejuk sejak awal musim sejuk kepada 10 orang. – AGENSI, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here