Home Hiburan QI RAZALI KONGSI PERSIAPAN SAMBUT ANAK SULUNG, PILIH NAMA MELAYU KLASIK

QI RAZALI KONGSI PERSIAPAN SAMBUT ANAK SULUNG, PILIH NAMA MELAYU KLASIK

167
0

PETALING JAYA: Pelakon Qi Razali mengakui sudah mempunyai beberapa pilihan nama untuk anak sulungnya yang dijangka dilahirkan pada hujung bulan ini.

Qi atau nama sebenarnya Qushairi Mohammed Razali, 48, berkata dia cenderung memilih nama Melayu klasik, namun turut mempertimbangkan pilihan nama yang lebih moden.

“Saya sudah beli semua keperluan asas seperti lampin dan sabun yang bebas bahan kimia. Katil bayi juga sudah disediakan, termasuk bilik anak.

“Apabila buat persediaan ini, barulah saya tahu pakaian bayi pun ada saiz kosong hingga setahun,” katanya.

Menurut Qi, walaupun jadual kerjanya agak padat, dia bersedia berbincang sekiranya tarikh kelahiran anak bertembung dengan komitmen kerja.

“Insya-Allah, anak saya dijangka lahir hujung bulan ini. Dalam jadual memang ada kerja, tetapi jika bertembung, kita boleh berbincang.

“Saya sudah ada pilihan nama Melayu klasik dan juga moden. Saya lebih cenderung kepada nama klasik kerana mahu anak tahu asal-usul dan keturunannya. Dalam keluarga saya, semua menggunakan nama Melayu,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan media filem Pemuja di TGV The Starling, di sini, malam tadi.

Qi turut mengakui banyak mendapatkan pandangan rakan-rakan terdekat berhubung persediaan sebagai bapa dan proses menyambut kelahiran anak.

“Ramai yang bertanya sama ada saya sudah bersedia untuk berjaga malam. Sekarang saya faham kenapa pada awalnya suami yang perlu banyak berjaga kerana isteri baru bersalin dan perlu berehat.

“Saya tak tahu sama ada saya bersedia atau tidak, tetapi berjaga tengah malam tengok perlawanan bola pun sekarang sudah tak mampu sampai separuh masa,” katanya sambil berseloroh.

Qi berkata, berdasarkan jangkaan awal doktor, anak yang bakal dilahirkan berkemungkinan perempuan, namun dia tetap bersedia sekiranya dikurniakan anak lelaki.

Dalam perkembangan lain, Qi teruja mempertaruhkan filem seram pertamanya, Pemuja arahan Azmir Affandi, yang menggandingkannya bersama Yasmin Hani.

“Sebelum ini saya pernah kata tak mahu berlakon filem seram kerana saya sendiri skeptikal. Namun selepas bertemu pengarah dan mendengar penjelasan mengenai skrip, saya tertarik kerana diberikan kebebasan untuk berkarya.

“Saya boleh masukkan banyak elemen diri saya dalam watak itu. Bagi saya, tidak mengapa mencuba filem seram kerana saya sendiri tidak pernah melalui pengalaman seperti yang dipaparkan dalam filem ini,” katanya.

Pemuja menyaksikan Qi memegang watak Aqil, suami kepada Qistina lakonan Yasmin Hani. Qistina seorang penulis buku kanak-kanak terkenal, manakala Aqil pula seorang usahawan yang sedang membina syarikat pemula (start-up).

Tekanan kewangan dan tragedi keluarga memaksa mereka berpindah ke rumah pusaka ayah Qistina di kampung bersama anak mereka, Laila. Pada awalnya, kehidupan kelihatan tenang, namun insiden seram mula menghantui keluarga itu. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here