Home Buletin Semasa WARGANEGARA MALAYSIA DILAPOR HILANG DI JEDDAH SEJAK 15 JANUARI

WARGANEGARA MALAYSIA DILAPOR HILANG DI JEDDAH SEJAK 15 JANUARI

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Kementerian Luar Negeri mengesahkan seorang warganegara Malaysia dilaporkan hilang di Jeddah, Arab Saudi sejak Selasa lalu.

Menurut kenyataan kementerian, Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah telah menerima laporan berhubung kehilangan individu berkenaan dan segera mengambil tindakan susulan dengan menyelaras usaha pencarian bersama pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan.

“Sebagai langkah awal, pegawai Konsulat Jeneral digerakkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz bagi menjalankan usaha pengesanan berdasarkan lokasi terakhir individu terbabit.

“Pada 16 Januari, Konsulat Jeneral turut memudah cara agensi pelancongan Malaysia yang terlibat bersama rakan kongsi tempatan di Jeddah untuk membuat laporan polis rasmi, selaras dengan peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi,”menurut kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu sehingga hari ini, Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah terus berurusan secara aktif dengan pihak berkuasa tempatan bagi mempercepatkan usaha pencarian, di samping menyalurkan bantuan konsular kepada ahli keluarga terdekat mangsa serta mengekalkan komunikasi rapat dengan semua pihak berkaitan.

Kementerian Luar Negeri menegaskan komitmennya dalam memastikan kebajikan dan keselamatan setiap warganegara Malaysia di luar negara sentiasa terpelihara.

Bagaimanapun, kementerian memaklumkan bahawa sebarang maklumat terperinci dan perkembangan lanjut berkaitan kes ini hanya akan dimaklumkan kepada ahli keluarga terdekat bagi menghormati privasi pihak terlibat serta memastikan kelancaran proses siasatan tanpa sebarang kekhilafan fakta.

Dalam pada itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes berkenaan diminta menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah melalui talian +966-12-6727740, +966-12-6728019 atau +966-12-6760877, atau menerusi emel di mwjeddah@kln.gov.my.

Media sebelum ini melaporkan pelakon filem Syaitan Munafik dan Kudeta, Nadia Kesuma atau nama sebenarnya, Nadiah Kasumawati Abdul Karim gagal dikesan selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here