LONDON: Enzo Maresca tidak dapat menjelaskan mengapa Chelsea kerap mensia-siakan kelebihan jaringan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), namun mengakui ia adalah masalah yang mesti diselesaikan jika mereka mahu mengekalkan sasaran kelompok empat terbaik.
Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, kekalahan 1-2 di tangan Aston Villa Sabtu lalu adalah kali ketiga musim ini Blues tewas di Stamford Bridge selepas mendahului.
Ollie Watkins menjaringkan dua gol dalam 30 minit terakhir apabila pasukan Maresca kecewa sesudah beberapa peluang terlepas, ketika Joao Pedro meletakkan mereka di depan pada babak pertama.
September lalu, Brighton melakukan kebangkitan serupa dengan tiga gol lewat ketika menang 3-1 selepas Trevoh Chalobah dilayangkan kad merah.
Bulan berikutnya, Sunderland menjaringkan gol lewat pada masa kecederaan untuk menang 2-1 selepas ketinggalan.
Keputusan seri 1-1 dengan Arsenal pada November, yang mana Chelsea mendahului walaupun bermain dengan 10 orang sebelum dibolosi gol penyamaan, menambah lagi kekecewaan mereka.
“Ia hanyalah satu perkara untuk difahami sebab musababnya,” kata pengurus Chelsea, Maresca yang mana pasukannya akan menentang Bournemouth di barat London awal pagi esok.
“Apabila sesuatu berulang, ia bukan kebetulan.
“Kami perlu faham kenapa. Sama ada menang, seri atau tewas, apabila dibolosi gol, kami sedikit hilang kawalan.”
Pengurus warga Itali itu, mengulas mengenai perlawanan menentang Villa berkata: “Dalam satu jam kami boleh ambil banyak perkara positif. Tidak banyak pasukan mencipta begitu banyak peluang menentang Villa. Babak pertama mereka langsung tiada peluang, tiada apa pun dari segi jangkaan gol (xG).
“Saya menonton perlawanan Arsenal (ketika Villa menang 2-1 di Villa Park) dan perlawanan yang mereka menangi, mereka banyak mencipta peluang.
“Perlawanan itu tidak mencerminkan beza 10 mata antara kami dan Aston Villa, jujur saya katakan.”
Tabiat Chelsea hilang mata amat mengecewakan penyokong mereka kerana pasukan itu pernah menewaskan kelab gergasi Sepanyol, Barcelona 3-0 dalam Liga Juara-Juara serta juara EPL Liverpool.
Kelemahan itu menamatkan cerita mengenai cabaran Chelsea memburu kejuaraan dengan mereka ketinggalan jauh 13 mata di belakang pendahulu liga Arsenal.
“Kami perlu faham cara menangani dengan lebih baik apabila dibolosi gol,” kata Maresca. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






