Home Sukan GRAY TERUJA BELAJAR SELEPAS GOL SULUNG PERINGKAT SENIOR

GRAY TERUJA BELAJAR SELEPAS GOL SULUNG PERINGKAT SENIOR

LONDON: Bintang muda Tottenham Hotspur, Archie Gray bertekad untuk terus memperbaiki diri selepas menjaringkan gol profesional sulungnya ketika menang 1-0 ke atas Crystal Palace.

Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, Gray sebelum ini dipersalahkan apabila Spurs dibolosi ketika kalah 0-3 kepada Nottingham Forest dua minggu lalu selepas kehilangan bola di hadapan kotak penalti sendiri, namun dia mendapat sokongan penuh pengurus Spurs, Thomas Frank.

Pemain berusia 19 tahun itu mengekalkan tempatnya di bahagian tengah Spurs dan membalas kepercayaan itu di Selhurst Park apabila menanduk masuk gol jarak dekat, sekali gus jaringan pertamanya pada penampilan profesional ke-112.

“Ia perlawanan yang sukar buat saya di Forest,” kata Gray selepas membantu Tottenham meraih hanya kemenangan kedua dalam sembilan perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL).

“Kesilapan itu jelas salah saya tetapi dalam perlawanan itu saya cuba mendapatkan bola sebanyak mungkin, cuba kekal positif dan melupakan kesilapan berkenaan.

“Jelas perlawanan ini juga bukan yang terbaik, ia agak berserabut tetapi menjaringkan gol adalah sesuatu yang diimpikan setiap kanak-kanak,” katanya kepada SpursPlay.

“Kami tahu jika dapat mengekalkan rekod tanpa bolos, peluang untuk menjaringkan gol akan hadir. Empat pemain pertahanan kami amat cemerlang dan semua pemain mempamerkan mentaliti yang baik.

“Saya hanya berada di tempat yang betul pada masa yang tepat dan mungkin sentuhan Richy (Richarlison) yang melakukan segala-galanya. Saya berdiri kira-kira dua ela dari gawang.

“Saya sebenarnya tidak perlu buat banyak perkara, tetapi perasaan itu memang luar biasa.”

Gray berasal daripada keluarga pemain bola sepak profesional, termasuk Eddie dan Frank Gray yang pernah menjadi tonggak utama Leeds United pada awal 1970-an.

Namun nasihat daripada bapanya, Andy Gray, bekas penyerang Nottingham Forest membantu dia bangkit daripada kesilapan terbaharu itu.

“Ayah saya sentiasa berkata, selepas melakukan kesilapan, pergi dapatkan bola dan jangan takut,” jelas Gray. – AFP, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here