Home Buletin Semasa PENUNGGANG MOTOSIKAL MAUT TERBABIT NAHAS DI PASIR TUMBOH

PENUNGGANG MOTOSIKAL MAUT TERBABIT NAHAS DI PASIR TUMBOH

271
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Seorang lelaki maut selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kereta dan motosikal di hadapan MARDI Pasir Tumboh, di sini, tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner, ACP Mohd Rosdi Daud berkata, dalam kejadian kira-kira 12.15 tengah hari itu sebuah kereta jenis Perodua Axia yang dipandu seorang wanita berumur 21 tahun dipercayai dilanggar sebuah motosikal yang dinaiki mangsa, 58.

“Siasatan awal mendapati wanita berkenaan memandu kereta di lorong sebelah kanan dari arah Peringat menghala ke Pasir Tumboh.

“Apabila sampai di lokasi kejadian dipercayai penunggang motosikal dari lorong sebelah kiri telah mengubah haluan ke lorong kanan secara mengejut menyebabkan pemandu kereta tidak sempat mengelak dan terlanggar mangsa dari belakang,”katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal itu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian untuk bedah siasat.

“Manakala pemandu Perodua Axia mengalami kecederaan dan dibawa ke HPUSM untuk mendapatkan rawatan lanjut,”katanya.

Mohd Rosdi berkata, siasatan lanjut berhubung kemalangan tersebut sedang dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Polis meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian kemalangan berkenaan tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu atau Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhammad Naqiyuddin Sharifuddin di talian 09-7752315,”katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa orang ramai supaya lebih cermat dan berhati-hati dalam pemanduan semasa menggunakan jalan raya dan mematuhi undang-undang serta isyarat lalu lintas. 

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here