MADRID: Stadium bola sepak legenda, Santiago Bernabeu yang lazimnya menjadi pentas aksi pemain terbaik dunia kini berubah wajah sepenuhnya apabila diubah menjadi apa yang digelar sebagai “glob salji terbesar di dunia.”
Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, Bernabeu kebiasaannya digunakan bagi perlawanan La Liga dan Liga Juara-Juara Eropah, namun stadium ikonik Real Madrid itu kini dimanfaatkan sepenuhnya sempena sambutan Krismas di Sepanyol.
Stadium yang baru menjalani pembinaan semula itu memiliki kapasiti 83,186 tempat duduk, namun akan lengang sehingga 4 Januari depan susulan rehat musim sejuk bola sepak Eropah.
Pengurusan Los Blancos tampil dengan idea kreatif bagi memastikan stadium terus digunakan sepanjang musim perayaan.
Bumbung stadium ditutup sepenuhnya dan ruang dalaman Bernabeu ditukar menjadi sebuah glob salji gergasi.
Peminat berpeluang membeli tiket untuk menghadiri pelbagai acara yang dianjurkan di dalam stadium itu dari 23 hingga 31 Disember.
Kawasan padang yang biasanya digunakan untuk perlawanan kini diubah menjadi gelanggang ais bertemakan Krismas, lengkap dengan karusel, gelongsor gergasi dan dewan makanan.

Antara tarikan lain termasuk laluan mini-gol dan simulator papan salji.
Permintaan terhadap tiket amat tinggi dengan semua slot hingga hujung tahun dilaporkan habis terjual.
Acara berkenaan diberi nama “Mavidad Bernabeu” dan digambarkan sebagai “pengalaman Krismas yang unik.”
Menurut satu kenyataan: “Mavidad Bernabeu adalah satu pengalaman Krismas yang unik, membolehkan pengunjung menikmati alam Mavix di salah satu lokasi paling ikonik di Madrid.
“Untuk beberapa hari, stadium ini berubah menjadi perkampungan magis penuh cahaya, dengan aktiviti seperti gelanggang ais, gelongsor, bengkel dan sudut tersembunyi untuk diterokai.
“Ia direka khas untuk keluarga, rakan-rakan dan semua yang masih menikmati Krismas seperti zaman kanak-kanak.”
Acara langsung turut diadakan di stadium itu dengan persembahan artis dan aksi peniti tali yang akan terus menghidupkan suasana “perkampungan” berkenaan. – AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






