Home Sukan FAM AKUR RANKING HARIMAU MALAYA MERUDUM

FAM AKUR RANKING HARIMAU MALAYA MERUDUM

KUALA LUMPUR: Pemotongan mata pada tiga aksi persahabatan sekali gus menyebabkan Harimau Malaya terkeluar daripada kelompok 120 terbaik dunia adalah hakikat yang perlu diterima Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Justeru, badan induk itu tidak mahu mempertikaikan keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan meletakkan fokus terhadap kes di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Memetik laporan Berita Harian, Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan mereka menghormati keputusan FIFA yang membatalkan keputusan perlawanan pada tiga aksi persahabatan kerana menurunkan pemain yang tidak layak.

“Itu kita boleh jangkakan kerana itu adalah undang-undang pertandingan yang diguna pakai kepada semua pasukan apabila menurunkan pemain yang tidak layak bertanding.

“Hukuman pemotongan mata hingga menyebabkan ranking Malaysia turun adalah perkara yang terpaksa FAM terima dan hormati keputusan FIFA yang menjatuhkan hukuman baru-baru ini.

“Apa yang boleh kita buat adalah memandang ke depan dan memberi tumpuan kepada kes di CAS,” katanya.

Terdahulu, seperti dijangka, hukuman FIFA terhadap FAM memberi impak besar kepada kedudukan ranking dunia skuad Harimau Malaya.

Susulan hukuman badan induk itu membatalkan keputusan tiga perlawanan persahabatan dengan Cape Verde, Singapura dan Palestin dengan Malaysia dianggap tewas 0-3, skuad kebangsaan kini terkeluar daripada kelompok 120 terbaik dunia.

Kemas kini terbaharu ranking FIFA semalam menyaksikan skuad bimbingan Peter Cklamovski tergelincir lima anak tangga apabila kini menghuni kedudukan ke-121 dunia.

Kedudukan itu menyaksikan Malaysia hanya satu anak tangga mengatasi seteru serantau, Indonesia yang berada di ranking ke-122.

Skuad Harimau Malaya kini menghimpun 1,145.89 mata yang mana mereka kehilangan kira-kira 22 mata berbanding ketika berada di ranking ke-116 dunia dengan 1,168 mata.

Keputusan itu bukan sahaja menyebabkan ranking Malaysia jatuh malah menyaksikan rekod tanpa kalah yang dilakar mereka sepanjang tahun ini lebur. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here