Home Buletin Semasa YBR SERAH LEBIHAN PERLINDUNGAN TAKAFUL LEBIH RM14,000 KEPADA DUA WARIS PELAJAR TAJAAN

YBR SERAH LEBIHAN PERLINDUNGAN TAKAFUL LEBIH RM14,000 KEPADA DUA WARIS PELAJAR TAJAAN

Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV

JELI: Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyantuni dan menziarahi keluarga pelajar tajaan Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah (PPBU) yang telah meninggal dunia bagi penyerahan lebihan wang pampasan perlindungan takaful PPBU berjumlah RM14,404.71 kepada dua waris pelajar.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Md Asyraf Zulfadhly Md Zainudin berkata, penyerahan sebanyak RM4,945.20 melibatkan waris Allahyarham Mohammad Naim Zikry Marwadi, 23, yang disahkan meninggal dunia pada 15 September lepas akibat kecederaan paru-paru kanan dan patah tulang pelvis dalam satu kemalangan jalan raya apabila motosikal ditungganginya hilang kawalan lalu merempuh sebuah kereta.

“Allahyarham merupakan pelajar tajaan YBR semester akhir bagi pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

“YBR berharap wang lebihan manfaat dan pulangan takaful ini dapat membantu waris meneruskan kehidupan dengan lebih baik,” katanya ketika menyerahkan pampasan tersebut di kediaman ibu Allahyarham di Kampung Seberang Jeli, di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua pelajar di bawah tajaan PPBU dilindungi skim takaful sebagai persediaan perlindungan serta pampasan kewangan sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya kekal akibat kemalangan diri.

Turut hadir pada pertemuan itu, Ketua Wilayah Bank Rakyat Kelantan dan Terengganu, Ghazi Omar serta Pengurus Jabatan Penajaan Pendidikan YBR, Muhammad Ridzuan Kamaludin.

Turut hadir, Ketua Wilayah Bank Rakyat Kelantan dan Terengganu, Ghazi Omar dan Pengurus Jabatan Penajaan Pendidikan YBR, Muhammad Ridzuan Kamaludin.

Sementara itu, Ibu Allahyarham, Zawiah Mohd Zain, 50, yang merupakan ibu tunggal dan bergantung kepada pencen arwah suami sebagai sumber pendapatan, merakamkan penghargaan atas keprihatinan YBR terhadap kebajikan pelajar tajaan.

“Saya tidak menyangka dan amat berterima kasih kepada YBR kerana menyediakan perlindungan walaupun anak saya telah meninggal dunia.

“Pampasan ini sedikit sebanyak dapat meringankan kehidupan seharian,” katanya.

Sementara itu, YBR turut memaklumkan akan menyerahkan lebihan pulangan takaful berjumlah RM9,459.51 kepada waris seorang lagi pelajar tajaan, Allahyarhamah Siti Ain Balqis Hamdan, 23, dari Gombak, yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada 3 Julai lalu.

Katanya, YBR merakamkan ucapan takziah kepada keluarga kedua-dua pelajar tajaan dan berharap manfaat takaful berkenaan dapat memudahkan urusan serta membantu kelangsungan kehidupan waris yang ditinggalkan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here