Home Luar Negara THAILAND SEKAT PENGHANTARAN MINYAK KE LAOS, BIMBANG DISELEWENG KE KEMBOJA

THAILAND SEKAT PENGHANTARAN MINYAK KE LAOS, BIMBANG DISELEWENG KE KEMBOJA

BANGKOK/PHNOM PENH: Tentera Thailand menghentikan penghantaran bahan api melalui pintu masuk di sempadan Laos semalam, susulan kebimbangan ia diselewengkan ke Kemboja.

Memetik laporan Reuters menerusi Berita Harian, Jurucakap Kementerian Pertahanan Thailand, Laksamana Muda Surasant Kongsiri, berkata sekatan dikenakan ke atas pergerakan semua bekalan bahan api melalui pintu masuk sempadan Chong Mek ke Laos, selepas menerima maklumat risikan mengenai bekalan itu disalurkan kepada tentera Kemboja.

Katanya, pertempuran sedang berterusan, sekurang-kurangnya di sembilan lokasi sepanjang sempadan di empat wilayah sempadan, termasuk di kawasan pesisir.

“Kami bukan berhasrat untuk menjejaskan rakyat atau Kerajaan Laos,” katanya pada satu sidang media.

Kementerian Luar Laos bagaimanapun enggan mengulas perkara itu.

Sementara itu, pegawai tentera laut berkata, tentera juga sedang mempertimbangkan untuk mengehadkan pergerakan kapal Thailand ke kawasan ‘berisiko tinggi’ di perairan Kemboja yang berpotensi menjadi sasaran tembakan dengan sebarang langkah sedemikian tidak akan menjejaskan kiriman dari negara lain.

Mengikut beberapa sumber perdagangan, sebahagian besar import bahan api bertapis Kemboja seperti petrol, ‘gasoil’ dan bahan api jet dibawa masuk melalui laluan laut, namun peratusan tepat pegangan pasaran tidak dapat dipastikan.

Berdasarkan data penjejakan kapal Kpler, Singapura adalah pembekal terbesar bahan api ke Kemboja, mencecah kira-kira 915,000 tan, setakat tahun ini.

Data itu menunjukkan jumlah penghantaran dari Thailand menurun kepada kira-kira 30,000 tan setakat tahun ini, berbanding kurang 180,000 tan pada 2024.

Kementerian Tenaga Thailand dalam kenyataan pada Jumaat lalu, memaklumkan tiada penghantaran minyak ke Kemboja selepas Julai.

Di Kemboja, jurucakap Kementerian Pertahanannya, Maly Socheata, berkata tentera Thailand menggunakan dron dan artileri di beberapa kawasan.

Beliau berkata, Thailand turut menempatkan pesawat pejuang F-16 untuk melakukan serangan udara di Wilayah Siem Reap, bandar kedua terbesar negara itu dan pusat pelancongan utamanya, Angkor Wat.

“Perlu juga diperhatikan bilangan pesawat pejuang dan bom kluster digunakan tentera Thailand untuk serang Kemboja semakin meningkat dengan ketara,” katanya.

Thailand dan Kemboja sudah lama bersengketa susulan beberapa bahagian sempadan, namun skala pertempuran terkini meliputi kawasan hutan pedalaman berhampiran perbatasan Laos hingga ke wilayah pesisir pantai, belum pernah berlaku dalam sejarah.

Lebih 500,000 rakyat dipindahkan akibat pertempuran yang mengorbankan sekurang-kurangnya 38 nyawa di kedua-dua pihak sepanjang lapan hari lalu, menurut pihak berkuasa negara.

Mereka sebelum ini melaksanakan pemindahan pada Julai lalu, apabila kedua-dua negara jiran itu bertempur selama lima hari sebelum rundingkan gencatan senjata dibantu Trump.

Berdasarkan tentera Thailand dan Kemboja, kedua-dua pihak bertempur di beberapa lokasi di sempadan darat sepanjang 817 kilometer (km) dengan tiada tanda akan reda walaupun ada usaha antarabangsa bagi rundingan gencatan senjata, termasuk gesaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Thailand dan Kemboja saling menuduh pihak lawan melakukan tindakan membawa kepada kegagalan gencatan senjata dimediasi Trump pada Julai lalu, yang kemudian diperluas menjadi perjanjian lebih besar bagi membantu menyelesaikan konflik pada Oktober.

Bangkok menegaskan sebarang usaha menamatkan pertempuran semasa perlu bermula dengan pemberhentian permusuhan pihak lawan dan cadangan gencatan senjata jelas, walaupun Phnom Penh berkata, pihaknya sedang mempertahankan diri daripada tindakan tentera jirannya. – REUTERS, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here